Gempar !!! PH bakal tarik diri dari MoU dengan kerajaan?


PH enggan kerjasama

PH bakal tarik diri dari MoU dengan kerajaan.Pakatan Harapan (PH) akan menarik diri sekiranya kerajaan tidak melaksanakan semua perkara yang dipersetujui dalam Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimenterai pada Isnin lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, ini kerana terdapat klausa keluar daripada MoU tersebut sekiranya kerajaan ingkar dan tidak mematuhi semua terma dalam perjanjian antara PH dan kerajaan itu.

“Jika perkara ini dibawa ke mahkamah (kerana kerajaan tidak melaksanakan perkara dipersetujui), PH juga tidak boleh menuntut ganti rugi.

“Tetapi kesannya jika siapa yang mungkir janji akan berdepan kemarahan rakyat. Jika MoU tersebut berjaya, ini adalah untuk manfaat rakyat keseluruhannya dan bukan untuk manafaat Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bakul makanan kepada lebih 20 penerima terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga yang terputus bekalan makanan di Taman Kota Puteri di sini pada Ahad.

Pada Isnin, senario politik tanah air mencatat sejarah apabila buat julung kalinya kerajaan Persekutuan dan pembangkang memeterai MoU bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, MoU itu merangkumi enam aspek iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pembangkang akan memantau pelaksanaan semua terma yang dipersetujui dalam MoU berkenaan dalam masa 10 bulan dan tempoh itu cukup untuk kerajaan melaksanakannya.

Dalam pada, beliau juga tidak bersetuju apabila ada pihak yang mengatakan PH sudah hilang peranan semak dan imbang apabila mementerai MoU tersebut malah tidak lagi lantang dan sudah ‘kendur’ kerana kini sudah dianggap menjadi ‘sebahagian’ daripada kerajaaan.

“Ini tidak betul. PH tetap meneruskan peranan semak dan imbang sebagai satu blok parti pembangkang yang terbesar di Parlimen. Menerusi MoU ini kita dapat laksanakan agenda reformasi yang kita perjuangkan sejak dahulu.

“Antara agenda reformasi PH yang kerajaan setuju laksanakan dalam MoU itu adalah pelaksanaan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dan undi 18 tahun. Kerajaan setuju kerana berada dalam keadaan lemah dan tidak mahu tumbang,” katanya.

Melalui MoU tersebut juga katanya, Perdana Menteri bersetuju untuk tidak mencampuri urusan mahkamah termasuk tidak akan tunduk kepada desakan Kluster Mahkamah untuk campur tangan termasuk ‘melepaskan’ mereka.

“Ertinya tangan Perdana Menteri ‘diikat’, tidak boleh campur kes mahkamah Ahli Parlimen Pekan, Ahli Parlimen Pontian dan Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO. Mungkin Perdana Menteri pun seronok tidak perlu berada di bawah tekanan Kluster Mahkamah,” katanya.