Kenapa kami terima tawaran MoU ini?, Akhirnya Khalid Samad buka
mulut. Saya tertarik dengan usaha terbaharu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub
yang membuat tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan bagi
memujuk Pakatan Harapan (PH) agar bertemu di meja perundingan dengan beliau.
Pada dasarnya ianya dikatakan usaha untuk memenuhi nasihat YDP
Agong supaya suhu politik negara diturunkan dan kestabilan politik tercapai.
Dalam erti kata yang lain, supaya PH tidak berusaha untuk menjatuhkan beliau.
Secara ringkas, tawaran itu adalah:
1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di
Parlimen.
2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang
UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh
jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang
Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara
bersama.
6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan
Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang
setara dengan seorang menteri.
mou
‘Transformasi kerajaan’ ini memaktubkan nilai-nilai murni dan
muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks
Keluarga Malaysia, kata Ismail dalam kenyataan beliau kelmarin.
Kesemua tawaran ini adalah satu cadangan reformasi Parlimen yang
sememangnya menjadi teras dalam perjuangan Pakatan Harapan sejak sekian lama
iaitu ‘Reformasi’. Ianya bukan semenyeluruh seperti yang diperjuangkan PH,
namun tiada yang boleh menafikan ianya sebahagian dari agenda ‘Reformasi’ yang
pernah dan sedang dibawa.
Hampir kesemua tawaran Ismail ini adalah bersifat prinsip dan
perjuangan, bukannya tawaran jawatan untuk para ahli Parlimen sebagaimana
tawaran ‘schemes of thing’ yang ditawarkan kepada Ahli Parlimen BN dan PN oleh
Mahiaddin sebelum ini.
Tawaran yang sama kekal dilakukan oleh Ismail Sabri selepas
beliau mengambilalih tempat Mahiaddin, termasuk status ‘bertaraf Menteri’
kepada Mahiaddin sendiri. Sememangnya itu sahaja bahasa dan tawaran yang boleh
memikat hati gerombolan ini.
Namun Ismail Sabri faham, bahasa dan tawaran yang sama tak akan
ke mana sekiranya ditujukan kepada Ahli Parlimen PH. Bahasa dan tawaran yang
boleh menarik PH ke meja perundingan adalah tawaran Reformasi, bukan jawatan
atau kedudukan. Maka inilah yang ditawarkannya, bukan kerana dia sendiri
memperjuangkan prinsip-prinsip berkenaan tetapi itulah yang diinginkan PH.
Jaminan balas yang diminta oleh Ismail dari tawaran ini pula
adalah jelas dan sangat minima, iaitu tidak berusaha menggugat kerajaan beliau
demi mempastikan kerajaan yang ada stabil sehingga pilihan raya umum akan
datang.
Ia termasuklah tidak membuat undi tidak percaya, tidak menolak
Belanjawan yang akan dikemukakan nanti dan tidak membuat apa-apa usaha yang
boleh menggugat atau menyebabkan diri dan kerajaannya jatuh. Itu pun diberikan
jaminan bahawa sebelum Belanjawan atau Rang Undang-Undang baharu dibentangkan,
ianya akan dibincang dan dipersetujui secara prinsip terlebih dahulu oleh PH.
Pada masa yang sama, ia tidak menghalang PH dari mengkritik dan
membantah tindakan mereka dalam semua persoalan yang lain jika mereka
menyeleweng dari tuntutan demokrasi dan keadilan.
Tawaran ini pula dikemukakan ketika PH sudah berusaha secara
serius untuk mengembalikan mandat rakyat yang diberikan dalam pilihan raya ke
14 lalu, namun semua usaha itu gagal.
Mahiaddin Berjaya dijatuhkan, tetapi mereka kembali Bersatu
setelah kelihatan berpecah untuk melantik Kembali sesama mereka sebagai Perdana
Menteri.
Sememangnya para pengkhianat, pencuri, perompak dan penunggang
agama lebih seronok dan selesa untuk kekal bersama dari membenarkan PH kembali
berkuasa. Kalau PH Kembali berkuasa, sudah pasti segala jawatan mereka akan
hilang begitu sahaja.
Atas kesedaran bahawa kesatuan gerombolan ini adalah begitu
mantap
dan kukuh, maka PH sudah mengambil keputusan, cukuplah, setakat
itu sahaja. Tempoh untuk PRU 15 pun bukan lama sangat lagi dan oleh itu
‘politiking’ perlu ditamatkan supaya tumpuan boleh diberi kepada persoalan
menangani pandemik dan kemerosotan ekonomi serta masalah kehidupan rakyat.
Selepas keputusan itu dibuat, kini Ismail membuat tawaran
reformasi kepada sistem yang ada sebagaimana yang diperjuangkan PH sebelum ini.
Apakah kita harus menolaknya? Inilah yang perlu difahami oleh
pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.
Buat masa sekarang, Majlis Presiden Pakatan Harapan sedang
membuat penilaian serius terhadap tawaran ini dan membuat tawaran balas kepada
kerajaan Ismail.
Kita telah melantik jawatankuasa lima anggota untuk berbincang
dengan lima jawatankuasa yang dilantik oleh kerajaan Ismail untuk
membincangkannya.
Ada yang berkata, jika kita menyokong cadangan Ismail ini
bermakna Ismail yang menang dan beliau adalah roformer sebenarnya.
Bagi saya, ia tidak begitu. Ismail terpaksa menyokong reformasi
yang kita cadangkan sebelum ini. Inilah antara manifesto yang kita cadangkan
sebelum PRU 14 lalu.
Ismail terpaksa membuatnya untuk kepentingan kerajaannya dan
kita pula mendapat reformasi sistem yang kita perlukan untuk kepentingan rakyat
dan negara ini.
Saya ucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri kerana mengiktiraf
bahawa perjuangan kami berpaksikan prinsip, dan oleh itu tawaran yang dibuat
bersifat prinsip-prinsip Reformasi dan bukan tawaran jawatan. Ini satu
pengiktirafan yang sangat berharga bagi kami.
Kedua, beliau melaksanakan program kami demi mendapatkan
persefahaman bersama kami dan dengan itu membantu kami mencapai apa yang
diperjuangkan kami selama ini. Rakyat dan negara akan mendapat manfaat dari
Reformasi ini.
InsyaAllah PH akan mendapatkan kembali mandat rakyat dalam
pilihan raya umum ke 15 dan melaksanakan sendiri segala cadangan dan idealisme
perjuangan yang telah kita canaikan bersama sebelum ini.
Ini kerana, akhirnya, yang perlu bukan sekadar reformasi dari
segi peraturan dan perundangan tetapi juga kepimpinan yang komitted kepada
prinsip-prinsip reformasi ini sebelum ianya boleh dilaksanakan sepenuh dengan
jayanya.
KHALID ABD SAMAD
MP Shah Alam
Pengarah Komunikasi AMANAH
Pada 12 September 2021