MoU: PH akan pastikan Belanjawan 2022 terbaik buat rakyat
Suara-suara sumbang mengenai memorandum kerjasama (MoU) yang ditandatangani Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dihindarkan oleh penyokong kedua-dua belah pihak, sebaliknya mereka wajar memberi peluang Kerajaan dan PH membuktikan keikhlasan melaksanakan MoU berkenaan.
Ahli Parlimen pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat pada umumnya harus memberi peluang terutama selepas membaca syarat-syarat dan terma MoU yang melibatkan banyak perubahan struktur serta kerjasama meluluskan undang-undang yang menjamin ketuanan rakyat di negara ini.
“Apa sebenarnya faedah rakyat dapat daripada MoU ini? Saya nyatakan banyak faedah dapat dimanfaat oleh rakyat, sama ada dalam bentuk wang ringgit, kemudahan atau bentuk lain.
“Sebagai contoh kedua-dua pihak, Kerajaan dan PH bersetuju dana Covid 19 ditambah lagi RM45 bilion. Wang datang dari mana? Akan dibentangkan dalam Belanjawan 2022. Cadangan ini (tambahan peruntukan) datang dari PH. Kalau kita ada persefahaman, ini syaratnya.
“Kemudian disebut mengenai moratorium pinjaman bank. Kerajaan akan melaksanakan pengecualian bayar faedah terhadap pinjaman bank suku terakhir tahun ini.
“Ada faedah lain juga, bila kerajaan ada duit maka hospital akan diberi dana beli lebih banyak katil, kelengkapan ICU, ujian saringan Covid lebih meluas,” kata Hassan dalam satu siaran media.
Mengulas lanjut, Pembantu Jurucakap Parlimen KEADILAN mengenai Pekerja dan Hak Pekerja itu berkata, salah satu keuntungan terbesar yang diperolehi oleh rakyat adalah dalam soal kelulusan Belanjawan 2022 yang akan dirunding bersama PN dan PH.
Tidak seperti sebelum ini, PH akan mengemukakan Belanjawan Alternatif yang menunjukkan sudut-sudut kelemahan Belanjawan kerajaan, kali ini idea PH akan dimasukkan sekali sebagai sebahagian daripada Belanjawan.
“Disebut dalam MoU, semua rang undang-undang (RUU) termasuk melibatkan kewangan seperti Belanjawan mesti dibawa kepada pembangkang. Dibentangkan kepada PH melalui jawatankuasa pemandu yang akan dibentuk. Jawatankuasa ini 5 dari kerajaan berupa menteri-menteri dan 5 pemimpin PH.
“Jadi RUU dasar Belanajwan sebagai contoh dibawa dan dibentangkan. Selepas dipersetujui barulah RUU itu diserah balik kepada kerajaan dan dibawa ke Parlimen.
“Dalam isu Belanjawan, PH berpendapat perbahasan mesti dilakukan dan mesti dipastikan dasar-dasar dipersetujui tentang Belanjawan itu diikuti oleh kerajaan. Saya percaya dengan adanya sumbangan fikiran PH, Belanjawan lebih komprehensif dapat dikemukakan kepada rakyat,” katanya lagi.
Mengenai mungkinkah pembangkang akan melupakan peranan semak dan imbang selepas menandatangani MoU berkenaan, Hassan berkata, terdapat klausa khas di dalam MoU yang membenarkan PH terus mengkritik dan menegur kerajaan meski pun telah setuju berkerjasama.
Berkenaan PH mengiktiraf kerajaan PM Ismail Sabri, persoalan itu kata Hassan tidak relevan, kerana kerajaan PM Ismail telah sah di sisi undang-undang sama ada pembangkang mengiktiraf atau tidak.