Laporan: Najib tak tolak kemungkinan bertanding PRU15
Menurut
laporan, Najib berkata mana-mana ahli politik yang mahu memainkan peranan,
tentunya ingin menjadi Ahli Parlimen.
PETALING JAYA: Najib Razak tidak menolak kemungkinan bertanding
pada pilihan raya umum ke-15, meskipun disabit atas kesalahan rasuah oleh
Mahkamah Tinggi dan berdepan pelbagai perbicaraan lain, lapor agensi berita
Reuters.
“Mana-mana ahli politik yang mahu memainkan peranan, tentunya
ingin menjadi Ahli Parlimen,” kata bekas Perdana Menteri apabila ditanya sama
ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman
penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan
penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang berhubung dana RM42 juta
SRC International Sdn Bhd. Najib telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan
itu.
Selain kes SRC, Najib menghadapi beberapa kes mahkamah berhubung
dana 1MDB. Ahli Parlimen Pekan itu telah menolak semua tuduhan itu.
Dalam wawancara dengan Reuters, Najib berkata soal sama ada
beliau layak bertanding dalam PRU akan datang “tertakluk kepada tafsiran
peruntukan Perlembagaan Persekutuan.”
“Ia tertakluk kepada tafsiran dari segi undang-undang,
perlembagaan dan apa yang berlaku semasa perbicaraan,” katanya.
Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib kalah mengejut pada
pilihan raya umum 2018 kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Dr Mahathir
Mohamad.
Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Mahathir hanya bertahan selama
22 bulan berikutan “Langkah Sheraton” yang menyaksikan Muhyiddin Yassin
membentuk kerajaan baharu dengan sokongan Umno.
Bagaimanapun, Muhyiddin sendiri terpaksa meletak jawatan apabila
kehilangan sokongan 15 Ahli Parlimen Umno. Beliau digantikan Naib Presiden Umno
Ismail Sabri Yaakob.