Perak bincang semula keputusan jual
tanah Istana Raja Muda di Teluk Intan
Abd Razak Mohd Ali
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan membincangkan semula
keputusan untuk menjual tanah yang menempatkan Istana Raja Muda di Jalan Syed
Abu Bakar di Teluk Intan secara tender.
Menteri
Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia berikutan terdapat bantahan dan
pandangan baharu mengenai keputusan itu.
Menurutnya,
keputusan untuk menjual tanah itu dibuat ketika mesyuarat Exco tahun lepas.
“Saya akan bawa balik perkara ini dalam
mesyuarat Exco pada hari Rabu untuk kita lihat kembali, sebab saya rasa itu
adalah keputusan Exco yang dibuat pada tahun lepas untuk kita tender tanah
berkenaan.
"Tapi tengoklah, setelah ada beberapa
bantahan dan pandangan-pandangan lain itu termasuk ada yang memaklumkan ada
beberapa lagi kawasan-kawasan bersejarah yang perlu dipelihara,” katanya.
Beliau ditemui ketika bersama-meninjau lokasi
tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai - Blue Valley, Cameron Highlands dekat
sini, hari ini.
Saarani berkata, beliau telah memaklumkan
perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan
negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi semalam.
Menurutnya, sebarang keputusan mengenai tanah
serta istana itu perlu dibuat dalam mesyuarat Exco kerana merupakan keputusan
Exco yang lalu.
Terdahulu pelbagai pihak, termasuk pencinta
sejarah membantah tindakan untuk menjual istana lama itu kerana ia dianggap
sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.
Istana itu bersama kawasan seluas kira-kira
dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.