ISU BERAS MADANI SERLAH KECELARUAN KERAJAAN

 

Kewujudan kampit beras baru yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani secara tiba telah mencetuskan kecelaruan yang membuatkan ramai orang jadi rimas dengannya.

Kecelaruan itu sudah tentu dikaitkan dengan kerajaan berjenama madani yang sedang berkuasa ketika ini.

Kenapa kecelaruan berlaku?

Pertama, kerana harga beras baru itu disebut sebanyak RM30 bagi kampit 10 kilogram, iaitu lebih tinggi daripada harga beras tempatan sebelum ini yang biasa dijual hanya RM26 sekampit.

Lalu kemudian ada cuba merasionalkan, harga tinggi itu kerana ingin memberi lebih untung kepada pesawah yang menghasilkan tanaman padi.

Soalnya, apa bukti pesawah bakal mendapat lebih lebih untung atau pengilang sebenarnya yang akan mendapat lebih untung dengan harga RM30 sekampit itu?

Ini kerana kenaikan harga belian padi telah diumumkan pada tahun lalu lagi dan tiada sebarang kenaikan harga baru diumumkan sebelum kampit baru Beras Putih Malaysia Madani dimunculkan.

Kedua, kerana yang mengumumkan harga RM30 itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal selaku Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, sebuah jawatankuasa yang berada di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara atau NACCOL yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Lazimnya, pengumuman harga beras sebagai makanan utama rakyat akan diumumkan oleh Menteri Pertanian, dalam konteks sekarang menterinya ialah Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu sendiri dipetik sebagai berkata semalam, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Dalam hal ini, atas keistimewaan apa Syed Abu Hussin boleh mengumumkan harga Beras Putih Malaysia Madani itu dengan mendahului menteri?

Ketiga, walaupun Syed Abu Hussin secara realitinya telah mengumumkan sokongan terbuka kepada Anwar dan kerajaan perpaduan, secara prinsipnya pula beliau masih ahli Bersatu dan Ahli Parlimen Bersatu atau PN iaitu blok pembangkang.

Yang berubah, hanya sokongan mulutnya saja kepada Anwar dan kerajaan perpaduan.

Sejak mengalihkan sokongan, Bersatu tidak pernah menggantung keahlian Syed Hussin, jauh sekali memecatnya.

Jadi, bagaimana seorang Ahli Parlimen blok pembangkang boleh diberikan jawatan dalam sebuah jawatankuasa di bawah NACCOL yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri?

Apakah Ahli-Ahli Parlimen dalam kerajaan yang menyokong Anwar sejak awal lagi, bahkan ada yang sejak era reformasi, tiada yang layak dilantik ke jawatan tersebut?

Hakikatnya, perlantikan Syed Abu Hussin menerajui Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, kemudian disusuli dengan tindakannya mengumumkan harga beras, seterusnya lantaran ribut dalam masyarakat, Anwar segera tampil mengumumkan NACCOL akan segera bermesyuarat pada minggu depan untuk menetapkan harga beras yang kontroversi itu, semua ini adalah gambaran wujudnya kecelaruan yang ketara dalam kerajaan.

Seorang kawan secara bergurau berkata, sekarang tatakelola sudah jadi tatakelaut di mana dalam isu beras yang mudah dan tidak sepatutnya jadi itu pun, tiba-tiba menjadi kontroversi yang pasti parti-parti dalam kerajaan sudah pun kehilangan banyak undi.

Daripada rungutan masyarakat yang didengari, rata-rata tidak gembira dengan isu Beras Putih Malaysia Madani ini, apa lagi jika harganya yang bakal dlumumkan minggu depan kekal RM30 sekampit sebagaimana dinyatakan Syed Abu Hussin atau lebih tinggi daripada RM26.

Keempat, apa perlunya kampit beras baru itu diletakkan nama madani, kecuali yang mencadangkannya berhasrat ingin mengampu?

Daripada zaman Tun Mahathir Mohamad apabila Wawasan 2020 diperkenalkan, semua perkara selepas itu dijenamakan dengan Wawasan 2020; seterusnya di zaman Tun Abdullah Badawi yang membawa konsep Islam Hadhari, semua benda pula dinamakan Hadhari; di zaman Najib Razak, berebut-rebut lagi mengambil nama 1Malaysia, sehingga menubuhkan syarikat untuk menyonglap duit pun guna nama 1Malaysia iaitu 1MDB dan di zaman Ismail Sabri, semua beralih sekali lagi kepada Keluarga Malaysia.

Hanya di era Tun Mahathir berkuasa selama 22 bulan bersama PH dan Mahiaddin Md Yasin yang tiada penonjolan jenama dilakukan.

Di era Anwar, amalan lama nampaknya kembali semula dihidupkan di mana semua benda hendak disedapkan telinga Perdana Menteri mendengarnya, lalu macam-macam madani telah muncul untuk disesuaikan dengan Malaysia Madani.

Soalnya, bukankah konsep Malaysia Madani itu diperkenalkan untuk makanan bagi santapan hati, jiwa dan perasaan ke arah menuju masa depan yang gemilang, bukan simbol yang dijaja di luaran yang entah-entah lebih bertujuan mengaut laba serta keuntungan?

Lebih-lebih lagi kerana Anwar adalah seorang Perdana Menteri berteraskan perjuangan reformasi, ke mana hala tuju negara yang hendak dibawa jika banyak tabiat dan sejarah yang pernah gagal di masa lalu terus diulang semula, sedangkan melakukan reformasi itu sendiri ternampak begitu perlahan, kalau pun tidak tidak terus jadi kelam?- ShahbudinHusin 18/02/2024.