Anwar Ibrahim sekarang ini sudah memegang
jawatan Perdana Menteri sekitar 15 bulan lamanya dan dalam tempoh berkenaan,
rasa-rasanya tidak kurang 30 kali beliau mengulang-ulang cerita tentang rasuah
golongan kaya yang sedang dlgiat mahu diperanginya.
Ertinya, dalam sebulan, sekurang-kutangnya dua
kali beliau bercakap mengenainya.
Ketika PRN enam negeri lalu dan PRK di
beberapa kawasan sebelum ini, pantang jumpa mikrofon, isu rasuah golongan kaya
yang selalu dinaik-tarafnya sebagai golongan maha kaya itulah yang hampir tidak
pernah terlepas daripada disentuhnya.
Saya ada seorang kawan yang begitu gemar makan
nasi kandar atau nasi daun pisang dan sekurang-kurangnya sebulan sekali, beliau
wajib menikmati salah satu daripada makanan kegemarannya itu.
Kalau disamakan dengan tempoh 15 bulan Anwar
jadi Perdana Menteri, bermakna 15 kali atau mungkin 20 kali jugalah kawan saya
itu makan nasi kandar atau nasi daun pisang.
Mafhum yang mudah difahami di sini, kekerapan
Anwar mengulang-ulang cerita rasuah golongan maha kaya adalah sekali ganda
melebihi daripada kekerapan kawan saya berulang-alik menikmati nasi kandar atau
nasi daun pisang yang digemarinya itu.
Kata orang Indonesia, luar biasa ini Pak!!
Soalnya, wajarkah Anwar terlalu kerap
mengulang-ulang cerita yang sama berkali-kali?
Semalam ketika berucap di Pulau Pinang, sekali
lagi Anwar menyentuh itu tersebut.
Ini barangkali sudah kali yang ke-31.
Jika sebelum itu beliau selalu menggelar
mereka sebagai golongan kaya dan maha kaya, kali ini ini label itu dinaikkan
lagi kepada golongan yang tidak boleh disentuh yang didakwanya menggelapkan
wang dalam jumlah yang besar tetapi sentiasa dapat mengelak daripada hukuman
kerana berpengaruh.
Anwar seterusnya berkata, usaha kerajaan
memerangi rasuah bukan kerana dendam lama tetapi kerana mahu membebaskan negara
daripada gejala rasuah.
“Saya sudah beritahu…hang Datuk Seri ka, Tan
Sri ka, hang Tun ka… hang baik kita salute (hormat), hang rompak kita tangkap,
sumbat dalam penjara.
“Bilik saya di Sungai Buloh masih ada, (masih)
kosong,” katanya lagi.
Rasanya ucapan sebegini bukan saja tidak
perlu, tetapi juga sudah melebihi sempadan yang sepatutnya bagi seorang Perdana
Menteri.
Anwar harus sedar, beliau kini adalah Perdana
Menteri dan semua kuasa ketika ini sedang terhimpun dalam lingkungan kehendak
serta keinginannnya.
Beliau petik jari saja, semua urusan pasti
segera berjalan pantas.
Dengan demikian, setelah ada kuasa dalam
tangan seperti sekarang, tidak manis lagi bercakap seolah-olah rindu atau
kepingin kembali jadi Ketua Pembangkang.
Dengan kuasa yang ada, apa yang perlu
dilakukan ialah memastikan semua usaha yang dilakukan, baik memerangi rasuah,
membebaskan negara daripada rasuah dan menangkap golongan pendurjana kepada
negara, benar-benar membuahkan hasilnya.
Begitu juga gembar-gembar mahu mengembalikan
kekayaan yang dicuri itu kepada khazanah negara semula, ia juga mesti
dipastikan ada kejayaannya.
Setelah kuasa dalam genggaman, kuasa suara
tidak perlu ditonjolkan lagi dan kadang-kadang ketika diam atau tidur pun,
kuasa itu boleh digerakkan.
Lagi pun, dalam kes rasuah melibatkan golongan
kaya yang pernah berkuasa sebagaimana selalu disebut Anwar itu, sebahagian
tindakan sudah diambil dan sebahagian lagi sedang berjalan, sama ada dalam
bentuk penyiasatan atau pendakwaan.
Jadi, kenapa masih mahu mengulang-ulang dengan
nyaring lagi ke telinga rakyat?
Bukankah lebih baik diserahkan sepenuhnya
kepada SPRM menjalankan kerja mereka?
Mengulang-ulang terlalu kerap, bahkan sampai
menyebut bilik penjara yang pernah didiaminya di Penjara Sungai Buloh masih
kosong, selain Anwar sebagai Perdana Menteri seperti cuba mendahului mahkamah,
bahkan secara tidak langsung memercikkan dendam lama yang masih terlihat tebal
dalam jiwanya.
Kalau Anwar selalu menyebut beliau tidak
campur tangan urusan SPRM dan tidak juga mempunyai dendam lama, tak usahlah
diulang-ulang lagi menyebut perkara yang sama, lebih tidak patut hingga ke soal
penjara pun mahu disebut secara terbuka.
Kalau ketua cabang dan ketua ranting yang
bercakap sedemikian rupa dalam ceramah kempen pilihanraya, ia barangkali boleh
lagi diterima, tetapi amat tidak sesuai bagi seorang Perdana Menteri
mengucapkannya.
Meski setakat ini rakyat suka dan memberi
sokongan atas usaha Anwar memerangi rasuah yang dilakukan sejak awal lagi,
tetapi apa yang mahu dilihat selepas ini ialah hasilnya, di samping dalam
tempoh menanti hasil itu, lebih banyak usaha meringankan beban hidup dan
memakmurkan poket rakyat terus diperhebatkan.
Lebih baik dibanyakkan cakap tentang usaha
memulihkan ekonomi, melegakan ringgit, menambah pelaburan serta peluang
pekerjaan dan lain-lain hal yang mampu menjadikan kehidupan rakyat bertambah
selesa.
Isu rasuah golongan kaya, kelompok maha kaya,
golongn tak boleh disentuh, Tun, Tan Sri dan sebagainya elok diserahkan
sepenuhnya kepada pihak berkuasa tanpa diulang-ulang retorik yang lebih
bertujuan menyedapkan halwa telinga semata-mata.
Diulang-ulang pun harga beras madani tidak
juga turun harga.
Jangan sekadar mengulang-ulang cerita rasuah
golongan kaya itu, takut nanti sampai tarikh PRU16 pun masih tiada harta, tiada
kekayaan dan tiada wang yang mereka miliki itu dapat dikembalikan semula kepada
khazanah negara, walau dalam teriakan di atas pentas selalu digambar ia sebagai
hasil rompakan kekayaan negara.
Jika sampai begitu, sudah tentu bilik penjara
yang pernah didiami Anwar akan terus kosong tanpa berpenghuni.
Cuba renung sejenak, kalau itu keadaannya,
masih mampukah Anwar dengan peluang berkuasa sebagai Perdana Menteri sudah
diberikan, terus mendapat sokongan rakyat pada PRU16 akan datang? –
ShahbudinHusin 17/02/2024.