Oleh: Abdullah Zaid
Masalah bekalan air yang
membelenggu rakyat Kedah terus menemui jalan buntu ekoran kelewatan syarikat
Kerajaan Negeri menyiapkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau yang
seharusnya selesai pada tahun lalu.
Malah, lebih mendukacitakan
‘projek sakit’ itu masih tidak diketahui bila akan diselesaikan susulan
kenyatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa
kelewatan menyiapkan LRA tersebut kerana kenaikan kos bahan binaan.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen
Sungai Petani, Dr Taufiq Johari mengingatkan pemimpin nombor satu Kedah itu
untuk tidak terus memberi pelbagai alasan, sebaliknya mencari jalan
menyelesaikan projek seberapa segera yang boleh.
"Sanusi sudah bertahun
menjadi Menteri Besar dan isu bekalan air telah lama berlaku, beliau tidak
sepatutnya terus memberi alasan sebaliknya perlu adakan perbincangan segera
menyelesaikan masalah ini.
"Jangan bila Menteri turun
padang baru hendak beri respon," katanya kepada Suara Keadilan.
Untuk rekod, Timbalan Menteri
Peralihan Tenaga dan Guna Daya Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempersoal
punca kelewatan LRA itu minggu lalu dengan dengan membandingkan Projek LRA
Layang 2 di Johor.
Katanya, kedua dua projek
tersebut mempunyai persamaan garis masa sama dibina tetapi LRA Layang sudah
siap sepenuhnya.
Susulan itu, Taufiq berkata,
musim kemarau bakal melanda awal Mac nanti sememangnya akan memberi kesan buruk
kepada rakyat Kedah berdepan krisis bekalan air bersih ketika ini.
"Rakyat menjadi mangsa
menghadap musim kemarau, puasa dan hari raya, ia sudah tentu menjadi igauan
mimpi buruk masyarakat Kedah
"Bayangkan anak-anak yang
pulang dari perantaun balik untuk beraya dan berbuka dengan air yang masih
tidak ada. Sudah tentu menjadi suatu masalah buat mereka.
"Oleh itu, saya menyeru
Kerajaan Negeri selesaikan segera isu air ini supaya rakyat Kedah tidak menjadi
mangsa," ujarnya lagi.