Kewujudan kampit beras baru yang dinamakan
Beras Putih Malaysia Madani secara tiba telah mencetuskan kecelaruan yang
membuatkan ramai orang jadi rimas dengannya.
Kecelaruan itu sudah tentu dikaitkan dengan
kerajaan berjenama madani yang sedang berkuasa ketika ini.
Kenapa kecelaruan berlaku?
Pertama, kerana harga beras baru itu disebut
sebanyak RM30 bagi kampit 10 kilogram, iaitu lebih tinggi daripada harga beras
tempatan sebelum ini yang biasa dijual hanya RM26 sekampit.
Lalu kemudian ada cuba merasionalkan, harga
tinggi itu kerana ingin memberi lebih untung kepada pesawah yang menghasilkan
tanaman padi.
Soalnya, apa bukti pesawah bakal mendapat
lebih lebih untung atau pengilang sebenarnya yang akan mendapat lebih untung
dengan harga RM30 sekampit itu?
Ini kerana kenaikan harga belian padi telah
diumumkan pada tahun lalu lagi dan tiada sebarang kenaikan harga baru diumumkan
sebelum kampit baru Beras Putih Malaysia Madani dimunculkan.
Kedua, kerana yang mengumumkan harga RM30 itu
ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal selaku
Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, sebuah
jawatankuasa yang berada di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara atau NACCOL
yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Lazimnya, pengumuman harga beras sebagai
makanan utama rakyat akan diumumkan oleh Menteri Pertanian, dalam konteks
sekarang menterinya ialah Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu sendiri dipetik sebagai berkata
semalam, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah
berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta
dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
Dalam hal ini, atas keistimewaan apa Syed Abu
Hussin boleh mengumumkan harga Beras Putih Malaysia Madani itu dengan
mendahului menteri?
Ketiga, walaupun Syed Abu Hussin secara
realitinya telah mengumumkan sokongan terbuka kepada Anwar dan kerajaan
perpaduan, secara prinsipnya pula beliau masih ahli Bersatu dan Ahli Parlimen
Bersatu atau PN iaitu blok pembangkang.
Yang berubah, hanya sokongan mulutnya saja
kepada Anwar dan kerajaan perpaduan.
Sejak mengalihkan sokongan, Bersatu tidak
pernah menggantung keahlian Syed Hussin, jauh sekali memecatnya.
Jadi, bagaimana seorang Ahli Parlimen blok
pembangkang boleh diberikan jawatan dalam sebuah jawatankuasa di bawah NACCOL
yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri?
Apakah Ahli-Ahli Parlimen dalam kerajaan yang
menyokong Anwar sejak awal lagi, bahkan ada yang sejak era reformasi, tiada
yang layak dilantik ke jawatan tersebut?
Hakikatnya, perlantikan Syed Abu Hussin
menerajui Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, kemudian
disusuli dengan tindakannya mengumumkan harga beras, seterusnya lantaran ribut
dalam masyarakat, Anwar segera tampil mengumumkan NACCOL akan segera
bermesyuarat pada minggu depan untuk menetapkan harga beras yang kontroversi
itu, semua ini adalah gambaran wujudnya kecelaruan yang ketara dalam kerajaan.
Seorang kawan secara bergurau berkata, sekarang
tatakelola sudah jadi tatakelaut di mana dalam isu beras yang mudah dan tidak
sepatutnya jadi itu pun, tiba-tiba menjadi kontroversi yang pasti parti-parti
dalam kerajaan sudah pun kehilangan banyak undi.
Daripada rungutan masyarakat yang didengari,
rata-rata tidak gembira dengan isu Beras Putih Malaysia Madani ini, apa lagi
jika harganya yang bakal dlumumkan minggu depan kekal RM30 sekampit sebagaimana
dinyatakan Syed Abu Hussin atau lebih tinggi daripada RM26.
Keempat, apa perlunya kampit beras baru itu
diletakkan nama madani, kecuali yang mencadangkannya berhasrat ingin mengampu?
Daripada zaman Tun Mahathir Mohamad apabila
Wawasan 2020 diperkenalkan, semua perkara selepas itu dijenamakan dengan
Wawasan 2020; seterusnya di zaman Tun Abdullah Badawi yang membawa konsep Islam
Hadhari, semua benda pula dinamakan Hadhari; di zaman Najib Razak,
berebut-rebut lagi mengambil nama 1Malaysia, sehingga menubuhkan syarikat untuk
menyonglap duit pun guna nama 1Malaysia iaitu 1MDB dan di zaman Ismail Sabri,
semua beralih sekali lagi kepada Keluarga Malaysia.
Hanya di era Tun Mahathir berkuasa selama 22
bulan bersama PH dan Mahiaddin Md Yasin yang tiada penonjolan jenama dilakukan.
Di era Anwar, amalan lama nampaknya kembali
semula dihidupkan di mana semua benda hendak disedapkan telinga Perdana Menteri
mendengarnya, lalu macam-macam madani telah muncul untuk disesuaikan dengan
Malaysia Madani.
Soalnya, bukankah konsep Malaysia Madani itu
diperkenalkan untuk makanan bagi santapan hati, jiwa dan perasaan ke arah
menuju masa depan yang gemilang, bukan simbol yang dijaja di luaran yang
entah-entah lebih bertujuan mengaut laba serta keuntungan?
Lebih-lebih lagi kerana Anwar adalah seorang
Perdana Menteri berteraskan perjuangan reformasi, ke mana hala tuju negara yang
hendak dibawa jika banyak tabiat dan sejarah yang pernah gagal di masa lalu
terus diulang semula, sedangkan melakukan reformasi itu sendiri ternampak
begitu perlahan, kalau pun tidak tidak terus jadi kelam?- ShahbudinHusin
18/02/2024.