TIADA SALAHNYA ANWAR TERUS TARIK AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG SOKONG KERAJAAN



Setelah dua Ahli Parlimen Bersatu tampil menzahirkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin nampaknya mulai cemas dan gundah gulana.


Seiring dengan desas-desus ada lima atau enam lagi Ahli Parlimen PN mungkin mengambil langkah yang sama, beliau semalam menggesa agar Anwar berhenti daripada menarik Ahli Parlimen blok pembangkang untuk menyokong kerajaan.


Selain membuat gesaan itu, beliau bagaimanapun sekali lagi mendakwa bahawa Ahli-Ahli Parlimen PN diugut dan ditawarkan ganjaran untuk berbuat demikian.



Walaupun Anwar sebelum ini sudah menafikan segala dakwaan itu, bahkan meminta Hamzah mengemukakan bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar apa yang didakwanya itu, tetapi sehingga sekarang, bukan saja gagal menunjukkan bukti, tetapi juga tidak langsung membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa.


Maka, di mana ada asasnya mereka yang mengalih sokongan itu sebab diugut dan ditawarkan ganjaran?


Dalam erti kata lain, sehingga ini segala dakwaan adanya ugutan dan tawaran ganjaran sebagaimana disebut Hamzah itu hanyalah cakap dengar semata-mata – sembang tanpa bukti yang tidak boleh dipakai sama sekali.


Dengan demikian, apa asas untuk Hamzah meminta Anwar berhenti daripada menarik Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang untuk menyokong kerajaan?


Sebagaimana disebut dalam kenyataan media Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnanin Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman yang mengumumkan sokongan mereka kepada Anwar, namun ingin terus kekal dalam Bersatu, tindakan mereka tidak lain adalah disebabkan kesukaran menjalankan tugas sebagai wakil rakyat jika tanpa peruntukan kewangan daripada kerajaan.


Berdepan isu kos sara hidup dan ramai pengundi berharap kepada bantuan, mereka merasakan hanya dengan menyokong kerajaan dan kemudian diberikan peruntukan saja merupakan jalan pilihan untuk berkhidmat dengan lebih baik lagi.


Maknanya, tindakan mereka memberi sokongan kepada Anwar dan kerajaan adalah pilihan mereka sendiri, tanpa terkait dengan ugutan atau tawaran apa-apa ganjaran.


Lagi pula, sokongan Anwar di Parlimen ketika ini sudah cukup stabil, bukan dengan satu atau dua majoriti macam Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri sebelum ini, logiknya untuk apa beliau mahu mengugut dan menawarkan ganjaran kepada Ahli Parlimen blok pembangkang untuk menyokongnya?


Begitu pun, kiranya betul usaha menarik sokongan itu memang dilakukan oleh Anwar atau atas keinginan beliau, ia juga bukanlah sesuatu yang salah, asalkan tidak membabitkan ugutan, ancaman, menawarkan ganjaran, rasuah dan perkara-perkara lain yang menyalahi undang-undang.


Bukankah selalu disebut orang, politik ini adalah “game of numbers” – siapa yang memiliki banyak sokongan, bermakna dia semakin kuat?


Meyakinkan mereka yang ada dipihak pembangkang untuk menyokong kerajaan bagi memperlihatkan kedudukan lebih kuat adalah perkara biasa dan tidak merupakan suatu dosa.


Jika semua Ahli Parlimen PN pun dapat ditarik untuk menyokong kerajaan, ia tetap tidak salah.


Apatah lagi dalam keadaan PN bukan lagi gabungan yang ada masa depan untuk menjatuhkan kerajaan, kecenderungan Ahli Parlimen blok pembangkang untuk mengalih sokongan juga adalah lumrah.


Dalam hal ini, Hamzah sendiri yang biasa melakukan kerja-kerja menarik Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Bersatu sebelum ini, tentu lebih arif mengenai hal ini.


Tidakkah Ahli-Ahli Parlimen UMNO ditarik untuk mengalih kiblat menyertai Bersatu selepas PRU 2018 yang dikatakan diusahakan oleh Hamzah pada waktu itu adalah bagi tujuan memperlihatkan kerajaan lebih kukuh juga?


Lagi pulaz, sebagai Ahli Parlimen, dalam tempoh empat tahun masih berbaki sebelum tibanya PRU16, keutamaan mereka tentunya untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada pengundi di kawasan masing-masing.


Jika dengan sokongan itu, mereka diberikan peruntukan, apa salahnya?


Tambahan lagi, PN sebagaimana ditegaskan oleh Takiyuddin Hasan semalam, mereka sudah pun mengambil keputusan tidak mahu berunding lagi dengan kerajaan berkaitan soal peruntukan tersebut.


Lalu, janganlah terkejut jika tiba-tiba selepas ini menderu lagi sokongan Ahli Parlimen pembangkang kepada Anwar dan kerajaan. – ShahbudinHusin 04/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/04/tiada-salahnya-anwar-terus-tarik-ahli-parlimen-pembangkang-sokong-kerajaan.html

No comments: