Sikap tegas atas konflik Palestin tidak jejas pelaburan Barat - Anwar


 Sikap tegas Perdana Menteri (PM) Malaysia dalam isu konflik Palestin - Israel tidak menjejaskan pelaburan asing terutama dari negara Barat ke Malaysia.



Menurut Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat kebimbangan bahawa ucapan beliau yang agak keras di Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengecam Israel dan mempersoalkan sokongan Barat ke atas kekejaman rejim Zionis akan mempengaruhi kemasukan pelaburan.



"Selepas saya keluarkan kenyataan (kecaman), tentu di sini (Malaysia) juga ada suara kebimbangan. Takut beri kesan kepada kedudukan ekonomi negara. Tentunya sebagai orang bertanggungjawab kepada pertumbuhan ekonomi, kita mengambil kira dan prihatin tentang masalah ini



"Sebab itu dalam semua kegiatan kita yang lain (di persidangan APEC), kita memberikan tumpuan untuk menjalin hubungan dan menggunakan pertemuan itu mengadakan pertemuan rasmi atau bukan (dengan pelabur)," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) dalam Dewan Rakyat sesi pagi.



PM yang juga Menteri Kewangan membariskan beberapa gergasi teknologi yang beliau temui sewaktu menghadiri sidang APEC di San Francisco baru baru ini termasuk Google dan Tiktok.



Komitmen pelaburan yang diperolehi Malaysia dalam lawatan itu katanya mencecah RM 63 bilion.



Tegas Anwar, kelantangan Malaysia dalam membela Palestin setakat ini tidak menjadi pertimbangan syarikat asing untuk masuk melabur. Mereka masih mengutamakan kestabilan politik dan dasar ekonomi negara.



"Ini penting kerana ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas kita berdepan AS dan Eropah menjejaskan ekonomi.



"Namun setakat ini saya ingin berikan penjelasan dan jaminan bahawa menemui beberapa pelabur utama AS nampaknya keutamaan masih diberikan kepada politik yang stabil, dasar ekonomi jelas dan mempercepatkan proses kelulusan yang sekarang dikendali oleh MAIDA," katanya lagi.