Perang di antara Palestin dan Israel diberi fokus utama dalam lawatan kerja dan menghadiri persidangan oleh Perdana Menteri di luar negara sejak seminggu lalu.
Hal itu ditegaskan dalam jawapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) di Dewan Rakyat pagi ini bagi menjelaskan pertanyaan Ahli Parlimen Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang bertanya apakah hasil lawatan PM keluar negara menghadiri persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
"Sebagai tamu (di APEC) tentu ada beberapa peraturan yang kita patuhi. Tetapi kerana hal ini (kekejaman Israel) terlalu parah dan pembunuhan berterusan maka saya tidak ada pilihan menggunakan setiap ruang, sementara membicarakan hal ekonomi, saya juga bangkitkan soal penindasan berterusan.
"Walaupun tidak dalam perencanaan awal, saya sebut bahawa negara kita membantah tindakan Rusia menakluki wilayah yang dianggap miliknya di Ukraine (ditentang negara Barat) dan kemudian tidak bersama (pula) membantah tindakan Israel.
"Memang tidak ada jawapan, sebab itu dalam sidang akhir (APEC), kebetulan kedudukan kerusi Malaysia itu betul betul berdepan Joe Biden (Presiden Amerika Syarikat), sebelah kanan saya itu, setiausaha negara (AS) Blinken. Saya suarakan dengan tegas bahawa ada permasalahan, manakala kita diminta mengutuk Rusia soal Ukraine tetapi membisu apabila ada pembunuhan kejam (oleh Israel).
"Saya sebut ungkapan agak penting, 'jangan lagi orang Barat menganggap ini (amalan era) kolonial, menentukan dasar dan bentuk tindakan kita'.
"Dia tidak boleh memaksa kita menentukan pendirian kita. Saya kata mesti sekurang kurangnya (Israel) menghentikan serangan sekarang. Saya sebut, satu hari tambahan (perang) bermakna masih ada anak anak, wanita dan orang awam dijadikan korban," kata Anwar pada sesi pagi Dewan Rakyat.
Sebelum itu, PM turut menjelaskan hasil persidangan negara negara Islam di atas jemputan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohamad bin Salman.
Kata Anwar, selepas mesyuarat negara Islam beliau berunding dengan Presiden Turkiye, Reccep Tayyib Erdogan dan Presiden Mesir Adbel Fatah el Sisi berkenaan kedudukan terkini konflik Palestin - Israel.
"Malaysia mempunyai pendirian tegas dan kita tidak mahu sidang hanya mengemukakan usul atau desakan tetapi mesti ada tindakan lebih berkesan. Sebab itu selepas di Riyadh saya ambil kesempatan berunding dengan Tayyib Erdogan dan Abdel Fatah Sisi, Mesir
"Apa yang dibangkitkan, setakat yang dirumuskan di Riyadh adalah menyegerakan keputusan menghentikan serangan ke atas Gaza yang belum berhasil sampai sekarang.
"Ada cadangan Mesir, Jordan, negara jiran ambil pelarian Palestin dan itu tidak disetujui negara Islam kerana beri peluang Israel menakluki Gaza. Yang dilakukan oleh UAE adalah mengambil yang sakit parah terutama bayi dan anak kecil untuk rawatan di Abu Dhabi atau Dubai.
"Keputusan berikutnya untuk mendapatkan penyertaan 10 negara utama memikirkan strategi dan menteri luar dimasukan. 5 - 6 orang dari satu rantau dan kita mengusulkan Indonesia sebagai negara terkesan dalam hal ini.
"Terakhir serangan ke atas hospital milik Indonesia, dan mereka mengambil sikap yang keras membantah dan kita turut mengeluarkan kenyataan. Tetapi sebagaimana kita tahu, hal ini tidak memberikan kesan kerana keangkuhan kuasa (Israel) kerana didukung oleh negara Barat," katanya.
Dalam kesempatan pagi tadi juga PM menyuarakan rasa tekilan terhadap beberapa suara penentangan di dalam negara mengenai keprihatinannya terhadap rakyat Palestin.
Mengenai isu kaum minioriti, kata beliau, keadaan di Malaysia bukan seperti di Palestin yang memerlukan pembelaan yang lebih intensif.
Begitu juga terhadap nasib warga Palestin itu sendiri yang bukan sahaja terdiri daripada umat Islam tetapi juga orang Kristian dan terdapat rumah ibadat mereka dimusnahkan oleh Israel.
"Bahawa ini bukan sahaja isu agama Islam, penduduk Kristian juga terlibat. Walaupun kebanyakan masjid diroboh namun 7 gereja dimusnahkan di Gaza. Sekali lagi ditegaskan keperluan kita melihat isu ini sebagai isu kemanusiaan yang harus difahami dan mencuit perasaan kita, dan mendorong tindakan kemanusiaan diambil," katanya lagi.