Pertikaian undang undang syariah: Kerajaan tubuh jawatankuasa, menteri PN buat apa?


 Kes cabaran ke atas undang undang syariah negeri Kelantan yang kini di peringkat Mahkamah Persekutuan dan tuduhan pembangkang seolah olah Kerajaan Perpaduan mahu melemahkan undang undang Islam dijawab di Dewan Rakyat hari ini.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) menyelar pembangkang PN yang beretorik menyalahkan kerajaan Madani berkenaan petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, sedangkan cabaran undang undang tersebut dimulakan pada era pemerintahan PN.


"Saya tidak ada permasalahan dalam kes ini, supaya rakyat memahami dan mengetahui bahawa harus ada usaha peningkatan bidang kuasa mahkamah syariah.


"Namun saya kesal seolah olah ada usaha mengalih tindakan Kerajaan Perpaduan sekarang. Semua tahu kes Selangor tahun 2021 dan Mahkamah Persekutuan telah buat keputusan, yang mana keputusan dibuat oleh DUN (hukuman syariah) bercanggah dengan Perlembagaan negara. Dan saya tidak dengar setahun dua yang lalu jawatankuasa (mengkaji masalah) ditubuhkan tetapi sekarang dihebohkan.


"Saya nak tanya menteri menteri, termasuk menteri undang undang dahulu, dia buat apa? Ada kata, saya tidak tahu. Bagaimana seorang menteri tidak tahu dalam kes seberat ini?


"Saya tegaskan ini kerana ada percubaan nak melagakan seolah olah kita (Kerajaan Perpaduan) tentang (undang undang syariah). Di mana yang kita tentang," katanya dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Mohd Azizi Abu Naim (Pas-Gua Musang).


Tegas PM, isu yang telah dibawa ke mahkamah pada tahun lalu itu sepatutnya dibahas atau dipertikaikan oleh pemimpin PN pada tahun lalu lagi. Bukannya menunggu tahun 2023 untuk dipersalahkan kepada kerajaan yang baharu.


"Kes ini diputuskan oleh DUN Kelantan (peruntukan hukuman), dicabar oleh Nik Elin yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Maknanya DUN tak boleh buat keputusan, parlimen tidak, PM tidak, bawa ke mahkamah.


"Bila dibawa ke Mahkamah Persekutuan? 25 Mei tahun lalu. Siapa yang perintah 25 Mei tahun lalu? Siapa PM? Siapa menteri undang undang? Dan sekarang ini semua dibebankan kepada kita," ujarnya.


Jelas PM, Kerajaan Perpaduan pada ketika ini telah berusaha dan mendapat perkenan Sultan Selangor yang merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji pertembungan undang undang syariah dan sivil dan mencari kaedah penyelesaian.


PM juga membawakan isu Perkara 121 (1a) yang beliau bawa suatu ketika dahulu apabila timbul hukuman yang diputuskan oleh mahkamah syariah sering dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.


Katanya, hal itu perlu diselesaikan pada waktu ini biar pun telah berdekad dekad lama dipendamkan.


"Kuasa mahkamah syariah harus ditingkatkan, bawa dalam perundingan. Jangan melalui DUN masing masing negeri. Itu terserah (pertindihan) kepada Mahkamah Persekutuan sekiranya (untuk) dianggap teratur (berperlembagaan) atau tidak," katanya.


Oleh itu, PM menolak keras tindakan pembangkang yang mempolitikkan isu pertembungan undang undang syariah yang dicabar di Mahkamah Persekutuan pada waktu ini untuk menyalahkan pihak kerajaan.


Katanya, hal itu cuba sedaya upaya sedang diselesaikan secara kompresensif oleh Kerajaan Perpaduan dan tidak perlu ianya menjadi pertikaian politik sama sekali.

No comments: