UNDANG UNDANG NEGERI VS UNDANG UNDANG PERSEKUTUAN





Che Ibrahim


1. Perlembagaan Negara dengan jelas membuat agihan kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Jadual Kesembilan Perlembagaan Negara membahagikan :


i. Senarai I    - Kuasa Persekutuan

ii. Senarai II  - Kuasa Negeri

iii.Senarai III - Kuasa Bersama


2. Jika berlaku pertindahan kuasa, maka undang undang negeri adalah terbatal dan undang undang Persekutuan adalah terpakai. Sebarang pertikaian bidangkuasa hendaklah dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.


3. Kes Nik Elin adalah contoh satu pertikaian undang undang di mana pada anggapan Nik Elin, Kerajaan Kelantan telah melangkaui bidangkuasa yang dibenarkan ketika menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan. 


4. Nik Elin tidak pertikaikan keseluruhan EKJS (I) 2019 itu, beliau hanya mempertikaikan 18 daripada 68 peruntukkan/seksyen dalam ekjs (I) 2019 sebagai bukan kuasa negeri, ianya adalah di bawah kuasa Persekutuan. Maknanya kesalahan kesalahan tersebut adalah kuasa mahkamah sivil, bukan kuasa mahkamah syariah. 


5. Jika Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada hari ini, 20/11/2023, setelah mendengar keterangan dari pempetisyen, Nik Elin Nik Rashid, dan pernyataan pembelaan serta afidavit sokongan oleh Kerajaan Kelantan, serta pandangan para peguam yang mencelah, Panel 9 orang Hakim Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan samada 18 seksyen yang dicabar itu "berlembagaan" atau sebaliknya. 


6. Jika Nik Elin menang, Mahkamah Persekutuan hanya akan membatal 18 seksyen yang dicabar itu sahaja atau sebahagian darinya, manakala baki peruntukkan lain dalam ekjs(I) 2019 tetap kekal, bahkan ekjs (I) 2019 itu sendiri akan kekal berkuatkuasa, apalagi mahkamah syariah. 


7. Petisyen ini jelas sekadar satu semakan undang undang berhubung kuasa negeri dan kuasa persekutuan, ianya bukan sekali kali untuk mencabar undang undang syariah atau kuasa mahkamah syariah.


8. Malangnya Pas barangkali mengambil kesempatan untuk menutup kelemahan dan kesilapan mereka semasa menggubal ekjs (I) 2019 dengan menimbulkan berbagai provokasi seolah olah yang sedang dicabar itu ialah undang undang syariah, yang akhirnya akan turut menguburkan mahkamah syariah. Amat jauh tersasar dari apa yang sebenar. 


9. Usah sesiapa pun, terutama Pas berprasangka hanya mereka yang terpaling Islam, hanya mereka yang berusaha menegakkan Islam, adapun orang lain selain dari Pas adalah musuh Islam yang sentiasa merancang untuk meruntuh Islam.... Jahatnya prasangka kamu!!?? 


Che Ibrahim Mohamed.

Bekas Hakim Mahkamah Syariah Kelantan merangkap

Timbalan Pengerusi,

Parti Amanah Negara,

Negeri Kelantan. 


20 Nov 2023.



No comments: