SIAPA PALING SESUAI TERAJUI J-KOM?



Berikutan perletakan jawatan Prof Dr Mohd Agus Yusof secara mengejut sebagai Ketua Pengarah J-Kom pada 15 November lalu, kerusi yang ditinggalkannya dengan pantas mula menjadi tumpuan.


Beberapa pihak dilaporkan berminat dan menunjukkan minat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Dr Agus itu dan seperti tidak peduli panasnya kerusi tersebut yang barangkali memungkinkan mereka juga akan menjadi sasaran kritikan, seterusnya tidak mustahil tercampak sama.


Sudah pasti yang berminat itu antaranya adalah daripada kalangan PKR/PH sendiri dan tidak terkecuali turut menunjukkan minat ialah daripada UMNO juga.


Realitinya, siapakah yang paling sesuai menerajui J-Kom?


Secara mudah untuk difahami, peranan J-Kom yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri ialah sebagai jambatan untuk menerangkan kepada rakyat berkaitan dasar, inisiatif, program dan segala macam yang dilakukan oleh kerajaan.


Dalam hal ini, J-Kom bukan saja perlu turun ke lapangan menjalankan fungsinya itu melalui program penerangan dan sebagainya, malah juga harus aktif di media sosial lantaran alam maya adalah dunia baru yang yang menjadi tumpuan hampir semua urusan dunia ketika ini.


Tidak terkecuali, jika Perdana Menteri diserang atau diperlekehkan berkaitan dasar, program dan insiatif yang dilakukan kerajaan, adalah menjadi tugas J-Kom untuk memberi penjelasan, malah menyerang balik pihak yang membuat perlekehan itu.


Mempertahankan Perdana Menteri, terutama dalam isu berkaitan kerajaan, adalah sama seperti mempertahankan kerajaan kerana kedua-duanya mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali.


Tidak boleh misalnya, J-Kom mengatakan tugas mereka hanya untuk mempertahankan kerajaan, sebaliknya mempertahankan Perdana Menteri kerja pihak lain.


Tanpa Perdana Menteri, tidak akan wujud kerajaan dan tanpa ada Perdana Menteri, J-Kom pun barangkali tiada keperluan untuk diwujudkan.


Sebab itu, untuk menerajui J-Kom ini, orang yang paling sesuai ialah orang parti sendiri dan sebaiknya ada sedikit jawatan yang sedang dipegangnya atau setidak-tidaknya pernah memegang jawatan tertentu dalam parti.


Hanya orang parti yang sedemikian lebih faham bagaimana untuk mempromosi dan mempertahankan kerajaan, sekaligus juga mempertahankan Perdana Menteri.


Selain itu, apabila orang parti yang ada jawatan dan kedudukan menerajui J-Kom, mereka akan lebih dihormati dan membantu memudahkan banyak urusan kerja.


Kelompok lain, ahli akademik misalnya, mereka mungkin mahir dalam ilmu teori dan biasa bergelumang dengan buku, tetapi untuk jawatan Ketua Pengarah J-Kom, yang ingin digelumangi ialah manusia yang lebih kompleks ragam, pendirian serta perangainya.


Itulah sebabnya banyak kelompangan, ketidakjelasan dan ketidaktahuan dalam J-Kom sebelum ini.


Orang yang mahu dilantik itu bagaimanapun tidak semestinya seorang pempengaruh yang hebat di media sosial, tetapi adalah suatu kelebihan jika memiliknya.


Ini kerana seorang Ketua Pengarah J-Kom tidak perlu muncul setiap hari, setiap malam atau selang dua tiga jam sekali di media sosial, sebaliknya yang perlu ialah kemampuan untuk berfikir, merancang dan merangka strategi bagi mempertahan serta memperlihatkan imej kerajaan dan Perdana Menteri sentiasa terkawal di mata rakyat jelata.


Yang penting, bakal Ketua Pengarah J-Kom itu mestilah juga seorang yang sanggup bekerja keras, memiliki daya kepimpinan untuk membentuk pasukan petugas yang bagus serta sentiasa peka dengan apa juga perkembangan yang berlaku.


Jika Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ingin melantiknya daripada kalangan PKR/PH, beliau pastinya lebih mudah mengenalpasti individu yang ada memiliki ciri-ciri berkenaan.


Malah, tidak mustahil Anwar sudah pun mempunyai beberapa nama yang dikenalinya daripada kalangan PKR/PH untuk dijadikan pilihan.


Begitu pun, jika Anwar ingin memberi jawatan Ketua Pengarah J-Kom itu kepada UMNO sebagai tanda menghargai dan mempercayai kerajaan perpaduan ini boleh bertahan lebih lama, beliau boleh saja berbincang dengan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dengannya.


Pokoknya, J-Kom ini tidak ubah seperti satu unit untuk pergi berperang, maka penerajunya, selain harus memiliki ciri-ciri di atas, mestilah tahu, biasa dan tidak takut untuk pergi berpegang. – ShahbudinHusin 21/11/2023.