PH HARUS PERKEMASKAN AKTA LOMPAT PARTI


Sebagaimana dilaporkan media sebelum ini, akta lompat parti yang lebih ketat tidak dapat dilaksanakan kerana mendapat tentangan daripada PN ketika proses penggubalannya.

Selepas Khairy Jamaluddin mendedahkan perkara itu, ia kemudian disahkan oleh Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, wakil PH dalam penggubalan undang-undang berkenaan, Hanipa Maidin serta bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tun Jaafar yang diberi tanggungjawab ketika era kepimpinan Ismail Sabri Yaakob untuk menguatkuasakan akta itu.

Wakil PN yang terbabit dalam penggubalan undang-undang itu ialah Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin Hasan.

Kini, apabila sudah ada empat Ahli Parlimen PN mengumumkan sokongan kepada kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sedikit sebanyak, pihak yang harus dipersalahkan oleh gabungan tersebut ialah Hamzah dan juga Takiyuddin

Dalam hal ini, selain memikirkan keuntungan politik, PH haruslah jujur dengan dasar perjuangannya sendiri.

Jika sebelum ini ia mahukan akta lompat parti yang benar-benar ketat, setelah mengetuai kerajaan sekarang, ia mesti kekal dengan pendirian yang sama.

Lagi pula, di samping PN sendiri akhirnya sedar kelonggaran itu sesuatu yang tidak baik untuk kestabilan politik negara dan terbukti telah merugikan mereka, UMNO juga terlihat tidak gembira dengan wujudnya kelonggaran itu.

Ketua Pemuda UMNO, Akmal Salleh, walaupun partinya sebahagian daripada kerajaan dan sokongan empat Ahli Parlimen PN kepada Anwar adalah sesuatu yang menguntungkan kedudukan kerajaan, tetapi beliau tetap menyifatkan mereka itu sebagai “katak politik”.

Malah beliau juga mencadangkan agar Ahli Parlimen itu patutnya diletakkan di luar dewan, bukan dikeluarkan daripada kedudukan bersama blok pembangkang saja.

Hakikatnya, jika PH dengan segera memulakan langkah mengkaji semula akta lompat parti agar itu benar-benar ketat, pasti semua parti akan memberi sokongan.

Sekaligus ini akan menyebabkan PH lebih disanjung rakyat.

Tambahan lagi, cukuplah setakat ini saja bagi Anwar dan kerajaan perpaduan menerima sokongan secara individu daripada Ahli Parlimen blok pembangkang

Kedudukan Anwar sudah cukup stabil, tanpa sokongan mereka itu pun kerajaan tidak akan tumbang.

Demi kestabilan dan inginkan peruntukan, jika PN mahu menzahirkan sokongan, mereka sepatutnya datang secara “en bloc” dan memetrai CSA (perjanjian kepercayaan dan perbekalan) dengan kerajaan.

Ini lebih harmoni buat kerajaan berbanding seorang demi seorang yang datang secara curi-curi” untuk memberi sokongan. – ShahbudinHusin 15/11/2023


No comments: