Selangor komited bela sekolah agama, semak garis panduan pemutihan



 Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerajaan Negeri Selangor terus memberikan komitmen untuk membela kedudukan sekolah-sekolah agama persendirian dengan memberikan lanjutan tempoh proses pemutihan hingga hujung tahun depan.



Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah, pelanjutan tempoh masa itu juga diberikan dengan kelonggaran dari segi syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan institusi pendidikan Islam swasta itu berjaya memenuhi ulasan bagi kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).



"Halangan utama tindakan pemutihan adalah kos lantikan konsultan yang agak tinggi sebagai syarat kelulusan merancang daripada PBT.



"Pelanggaran terhadap keperluan PBT (berlaku) sekolah yang beroperasi tidak berupaya mendapat ulasan daripada PBT ikut tempoh masa ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.



Dr Fahmi dalam pada itu mencadangkan semakan segera garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian negeri sedia ada untuk penambahbaikan bagi memudahkan sekolah menepati syarat PBT.



"Ini dilakukan dan libat urus saya sendiri telah hadir bersama persatuan sekolah agama seperti PITAS (Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor dan GASIS (Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor)," katanya.



Beliau menjelaskan pendaftar sekolah Islam melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberikan persetujuan bagi melanjutkan tempoh pendaftaran yang sepatutnya tamat pada Disember ini kepada hujung tahun depan.



"Ini adalah bagi memberikan peluang kepada sekolah agama persendirian mendapatkan ulasan lanjut PBT dan lanjutan tempoh pendaftaran itu juga diberikan dengan syarat yang telah dilonggarkan dan kelonggaran masa untuk memenuhi dapat ulasan sewajarnya daripada PBT dan sokongan daripada Pejabat Kesihatan serta Bomba dan Penyelamat Zon.

"Ini untuk bantu pihak sekolah lebih bersedia untuk diangkat bagi kelulusan PBT seperti sepatutnya berlaku," katanya.



Tambah beliau Bahagian Pendidikan JAIS juga akan membentangkan garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian 2.0 yang sedang dibuat oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan ia akan dibentangkan kepada PBT apabila siap kelak.



Selain itu, jelas Dr Fahmi, bantuan pemulihan sekolah tahfiz juga dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan peruntukan RM3.35 juta bagi mendapatkan kelulusan daripada konsultan.



Katanya sebanyak RM1.17 juta telah diagihkan kepada sebanyak 117 buah sekolah tahfiz di Selangor.



Terdahulu kepada soalan asal Noor Najhan, beliau memberitahu, sebanyak 225 daripada 497 sekolah agama persendirian di Selangor melalui proses pemutihan sejak 2020 hingga September lalu.



Tambahnya usaha pemutihan membabitkan 106 buah maahad tahfiz, sekolah rendah Islam integrasi (98) dan sekolah menengah Islam (21).



Mohamad Fahmi berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan soal keselamatan dan keselesaan murid-murid serta guru-guru di sekolah agama persendirian ekoran beberapa insiden sejak awal 2017 melibatkan kes kebakaran yang meragut nyawa serta kerosakan bangunan.



Kerajaan Negeri memulakan proses pemutihan sekolah agama persendirian berdasarkan garis pemutihan sekolah agama persendirian 1.0 yang digunakan pakai sejak 1 Januari 2021 hingga kini.

 


No comments: