Oleh: Abdullah Zaid
Kenaikan harga beras putih import selain kesukaran untuk
mendapatkan bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) meresahkan orang ramai.
Justeru bagi sesi Dewan Rakyat Pembentangan Rancangan Malaysia
ke-12 (RMK), Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mencadangkan 7 langkah bagi
menjamin Bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) dan bekalan beras import mecukupi.
Katanya, kerajaan pada ketika ini perlu memberi penekanan kepada
syarikat pengimport beras tunggal Padiberas Nasional Berhad (Bernas)
menyediakan bekalan beras mencukupi sebagai penyelesaian jangka pendek.
"Dalam perjanjian (sebagai pembekal tunggal import beras)
Bernas bertanggungjawab menyediakan kuantiti beras yang mencukupi untuk
mengelakkan kekurangan bekalan beras.
"Walaupun langkah tersebut merugikan mereka (ekoran kenaikan
harga beras import) tetapi langkah itu perlu diambil demi security (jaminan)
makanan negara," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, masalah sindiket tukar beg atau aktiviti ‘tukar baju’
(tukar bungkusan) oleh pihak tertentu bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali
ganda perlu ditanggani oleh pihak berkuasa dan kementerian yang terlibat.
"Ketiga kerajaan harus membenarkan syarikat lain untuk
mengimport beras agar boleh mewujudkan persekitaran daya saing yang lebih sihat
selain mewujudkan pembelian beras India yang berpatutan seperti yang dilakukan
Singapura," ujarnya.
Oleh itu, kata mantan Timbalan Menteri Pertanian itu, kerajaan
pada ketika ini wajar memberi kuota 30 peratus kepada syarikat lain untuk
mendapatkan bekalan import beras.
"Untuk menyelesaikan masalah bekalan beras kerajaan harus
membuka 30 peratus bekalan beras import kepada syarikat lain supaya isu
kekurangan ini dapat diatasi," katanya.
Selain itu, tegasnya pihak kementerian juga disarankan mengkaji
semula keberkesanan projek pembangunan sektor padi dan beras agar ia mampu
pulangan kepada negara.
"Bagi memastikan projek pembangunan padi dan beras berjaya,
kerajaan perlu mengkaji semula program yang telah dilaksanakan supaya ia mampu
membawa keuntungan kepada negara," jelasnya.
Dalam pada itu, Sim yang juga Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN
mencadangkan kerajaan untuk memberi subsidi secara terus kepada pesawah untuk
mendapatkan bekalan baja.
Hal ini katanya, bekalan baja yang hanya dibekalkan oleh
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dibimbangi boleh menjejaskan kualiti
padi yang dihasilkan.
"Ia boleh memberi peluang kepada pesawah untuk membeli baja
sendiri dan menentukan sendiri tapak sawah masing-masing supaya padi yang
dihasilkan lebih sihat," ujarnya.