Negara berpendapatan tinggi telah pun diperkenalkan sejak era pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak pada era 2010 lalu.
Namun kejayaannya tidak kelihatan dan Malaysia berstatus negara berpendapatan sederhana untuk berdekad lamanya.
Kerajaan Perpaduan melalui pendekatan baharu dalam misi Rancangan Malaysia Ke 12 (2021 - 2025) optimis akan berjaya melaksanakan negara berpendapatan tinggi melalui formula kawalan inflasi dan kenaikan gaji.
Hal itu dibicarakan oleh Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli dalam rancangan temubual RTM bertajuk Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Memperkasa Rakyat, malam tadi.
Menurut Rafizi, kawalan inflasi tidak akan menjadikan rakyat mudah berbelanja disebabkan gaji di Malaysia rendah dan tidak naik sepadanan dengan produktiviti. Oleh itu, katanya satu dasar intevensi kerajaan perlu dilakukan.
"Bila menguruskan ekonomi makro ianya bukan harga barang semata mata. Kita mahu kenaikan harga itu terurus dan kekalkan nilai kuasa beli serta nilai wang di tangan rakyat
"Misalnya jika berlaku inflasi dua digit, gaji banyak mana pun tak boleh beli barang. Keadaan di Malaysia ini agak bebeza sedikit. Saya jarang membandingkan inflasi Malaysia dengan negara lain kerana pencapaian kita antara terbaik di rantau ini malah di dunia. Pencapaian terkini inflasi 2%.
"2% kalau pergi ke persidangan antarabangsa mereka tepuk tangan. Tetapi di Malaysia isunya, walau inflasi rendah, barang tidak naik harga mendadak tetapi oleh kerana kenaikan gaji rendah tidak sepadan kenaikan harga barang, maka sebarang kenaikan sedikit itu pun bagi rakyat sudah membebankan mereka
"Sebab itu pendekatan Kerajaan Perpaduan menangani kos, bukan inflasi semata mata tetapi dengan segera kita mesti campurtangan soal gaji rakyat, supaya tahap pendapatan rakyat naik agar inflasi itu tidak jadi beban," katanya.
Selain itu, Rafizi juga mengupas mengenai beberapa hal anjakan RMK 12 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Dewan Rakyat dan keperluan anjakan pelan ekonomi tersebut untuk disesuaikan dengan konsep Ekonomi Madani serta beberapa pelan industri dan tenaga yang baharu
"Bila kita melancarkan pelan hala tuju peralihan tenaga itu melibatkan perancangan sektor tenaga dan industri yang menjadi tulang belakang negara kita.
"Begitu juga pelan baru perindustrian negara untuk industri sedia ada dan industri baru. Bezanya dalam rancangan lima tahun ini adalah satu perencanaan dasar menyeluruh meliputi kesemua perkara, ekonomi, struktur, budaya dan sebagainya. Jadi dalam pentadbiran negara kita, kerangka paling atas ialah kerangka RMK dan menjadi panduan di mana sektor lain akan diterjemah mengikut sektor tertentu.
"Maka sasaran Kajian Separuh Penggal (KSP) ini akan memandu belanjawan setiap tahun. Keseluruhan dokumen dasar ini saling berinteraksi setiap tahun," katanya lagi.
Bagi Rafizi, KSP semalam yang meminda beberapa teras utama RMK 12 sehingga seolah olah perancangan baharu perlu dilakukan kerana kerajaan sebelum ini tidak mempunyai visi yang jelas mengenai teknologi baharu atau ekonomi berasaskan internet atas talian yang berkembang pesat dalam dua tahun kebelakangan ini.