Manifesto Pas Tidak Sebut Majukan Ekonomi, Tarik Pelaburan T'ganu


 Oleh: Ahmad Nadhir Yob



ULASAN: Melihat kepada perbandingan manifesto barisan Nasional (BN) dan Pas Terengganu, kita boleh dapat melihat apa fokus dan visi yang ingin dibawa kepada rakyat negeri Terengganu oleh kedua dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.



Pihak Pas dengan tema kempen teguh pertahan kerajaan memberikan 10 tawaran manakala BN dengan slogan Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran menawarkan 23 janji kepada rakyat Terengganu



Perlukan pertumbuhan ekonomi



Penulis tidak berniat untuk fokus kepada setiap perincian manifesto setiap parti. Apa yang ingin penulis lontarkan ialah parti manakah yang meletakkan keutamaan dan keperluan rakyat Terengganu di dalam manifesto mereka pada kali ini.



Ahmad Nadhir Yob



Rakyat Terengganu sebenarnya memerlukan pertumbuhan ekonomi dan juga peningkatan taraf hidup yang lebih baik.



5 tahun di bawah pemerintahan Pas jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini relatifnya sangat kecil berbanding dengan negeri-negeri lain.



Namun begitu melihat kepada 10 janji yang ditawarkan oleh Pas, tidak ada sebarang janji yang memfokuskan kepada meningkatkan pelaburan masuk ke negeri Terengganu.



Janji yang ditawarkan itu sangat bersifat umum tanpa ada penerangan yang jelas bagaimana untuk mengembang dan mengekalkan pertumbuhan serta mengekalkan kebolehsaingan negeri untuk menarik pelabur luar.



Janji gula gula pilihanraya



Banyak janji lebih berfokus pada pemberian gula-gula sahaja seperti pinjaman pembelian motorsikal dan sebagainya. Jika hanya memberi motorsikal tanpa pekerjaan pada anak muda, di manakah anak muda mahu mendapatkan wang untuk mengisi minyak motor?



Mengenai pemberian geran usahawan kepada belia yang ingin memulakan perniagaan, penulis ingin bertanya kepada Pas Terengganu apakah langkah seterusnya selepas pemberian geran usahawan pada golongan belia ini bagi memastikan keusahawanan di peringkat belia dapat bertahan dan juga berkembang sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat?



Bagi penulis tidak cukup sekadar pemberian geran tanpa latihan dan juga infrastruktur serta sokongan daripada kerajaan bagi memastikan projek keusahawanan berjaya dan menyumbang kepada peluang pekerjaan.



______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman

 

No comments: