Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor sewajarnya mencontohi rakan sejawatannya di beberapa buah negeri lain yang mempunyai hasil nadir bumi tetapi tidak mengumumkannya kepada rakyat.
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, hal itu kerana nadir bumi tidak dibenarkan untuk dieksport oleh Kerajaan Persekutuan kerana logam tersebut berharga murah jika dijual sebelum diproses.
Oleh kerana itu, jelasnya, negeri seperti Perak yang memiliki hasil sama hanya berdiam diri.
"Nadir bumi ada banyak di negara kita. Di Perak ada, di Negeri Sembilan pun rasanya ada sikit. Itu yang Sanusi rasa hebat sangat kerana dia akan jadi Menteri Besar negeri terkaya. Sebab dia tengok secara geologi, ada (sejumlah besar) nadir bumi.
"Kita tahu nadir bumi dah lama. Negeri lain pun ada tetapi dia ikut peraturan. Peraturannya kita tidak boleh jual dan tidak benarkan eksport. Kuasa eksport kuasa Kerajaan Persekutuan. Kita tak nak hasil ini dipunggah tanpa diproses di negara kita
"Kalau biarkan dieksport ke negara lain sekejap sahaja habis hilang.
"Sebab kalau jual mentah harga dia murah. Kalau proses sampai jadi nadir bumi jadi gred industri, harganya beribu kali ganda," katanya dalam ceramah Jelajah Madani DUN Pilah di Negeri Sembilan malam tadi.
Bagaimanapun, kata Rafizi, masalah berlaku apabila pekerja yang dibawa masuk ke Kedah dari China dengan alasan ekplorasi nadir bumi di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri telah mencuri logam tersebut.
Hal itu, katanya, diketahui oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga orang Kedah dan tidak rela hasil bumi negeri itu dipunggah begitu sahaja.
Masalah menjadi lebih berat, dakwa Rafizi, apabila terdapat surat menyurat terkait MB dan KDN berhubung isu pekerja dari negara China dan sebagainya.
"(Dalam hal ini) saya yakin orang biasa dapat bezakan siapa berbohong atau siapa sembang kencang. Saya tak pernah mengaku panglima hebat, angkat tangan (ala Anwar) nak lawan.
"Saya kalau polis telefon, saya angkat. Ini sembang kuat, polis telefon 'saya tak nak pergi balai'. Padan muka kena tangkap
"Saya tengok dia maki hamun tiap tiap hari, saya ajak dia berdebat. Sebab cara cerita, dia nak kalih isu REE biar hilang, isu MBI terpalit kumpulan China. Kita ajak berdebat, tak berani pula," katanya.
Justeru, pesan Rafizi kepada Sanusi jangan cuba alihkan isu REE kerana hal itu adalah benar.
Biarpun ketika ini Sanusi digilai di TikTok dengan jutaan pengikut, katanya, sekiranya kelak beliau didakwa dan dihukum maka beliau akan bersendirian menerima hukuman.