'Biar kami jaga rakyat Kedah' - Fadhlina

 









Oleh: Noraini Nordin


Kedah perlu ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan kerana negeri itu banyak menyumbang jasa kepada rakyat Malaysia melalui jelapang padinya.


Menurut Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, tibalah masanya Kerajaan Perpaduan melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini membalas budi rakyat Kedah dengan meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.


"Beras yang kita makan adalah hasil jerih perih rakyat Kedah.


"Biarlah selepas ini kami pula (Kerajaan Perpaduan) menjaga rakyat Kedah.


"Beri kami peluang menjaga rakyat Kedah," kata beliau dalam ucapan penuh bersemangat dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, malam tadi.


Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut mengimbau mengenai sekolah pertama yang dilawatinya sebagai anggota jemaah Menteri.


Katanya, beliau mengangkat sumpah sebagai menteri pada 3 Disember tahun lalu dan sekolah pertama yang dilawatinya pada 16 Disember ialah SK Tebengau di Alor Setar.


"Ia adalah komitmen kita untuk menoktahkan sekolah daif di negara ini.


"Jadi, Kedah ini adalah negeri pertama saya pergi sebagai komitmen untuk menoktahkan sekolah daif di Malaysia," tambahnya di hadapan lebih sepuluh ribu orang yang menghadiri program malam tadi.


Oleh itu, tegas beliau, komitmen kerajaan sebenarnya sangat besar dalam PRN Ogos bagi memastikan agenda-agenda yang dirancang terus berjalan dengan baik.


Seterusnya, Fadhlina yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal menyeru sesuai dengan semangat sambutan Maal Hijrah minggu depan, agar sama-sama mengambil ibrah daripadanya iaitu semangat perpaduan, kestabilan dan memastikan kepimpinan hari ini dapat dipertahankan.


Sebagai pesanan, di akhir ucapan beliau mengungkapkan sebuah pantun


Biarlah orang menanam buluh,

Mari kita menanam padi,

Biarlah orang bertanam musuh,

Biar kita membuat budi.



No comments: