UNTUK PENGKHIANAT UMNO,,,,,,,,,,

 


PRN PELUANG TERBAIK UNTUK PEMIMPIN UMNO DIPECAT/DIGANTUNG BUKTIKAN TINDAKAN TERHADAP MEREKA ADALAH SALAH

 


Kecuali Tajuddin Abdul Rahman, semua pemimpin UMNO lain yang dipecat atau digantung nampaknya tidak berhasrat untuk mengemukakan rayuan.

Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan dan Maulizan Bujang adalah antara yang bertegas tidak akan membuat rayuan, manakala yang lain-lain pula terlihat senyap begitu saja – dipercayai turut tidak membuat rayuan atau sedang memikir-memikir untuk menyertai parti lain menjelang PRN akan datang tidak lama lagi.

Alasan mereka enggan membuat rayuan, antaranya kerana tidak tahu apa kesalahan telah dilakukan dan tidak pernah dipanggil membela diri oleh Lembaga Disiplin sebelum hukuman dijatuhkan.

Dalam erti kata lain, walaupun mungkin ada pertuduhan, ia hanya dikemukakan kepada MT UMNO dan kemudian terus dijatuhkan hukuman pemecatan atau penggantungan itu.

Dengan demikian prosesnya, mereka terbabit melihat tiada keperluan untuk mengemukakan sebarang rayuan terhadap hukuman yang telah dijatuhkan.

Sesungguhnya keputusan enggan membuat rayuan itu adalah tindakan paling tepat dan wajar sekali dilakukan sekali dilakukan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan.

Pertama, politik ini adalah perjuangan dan perjuangan perlu kepada tindakan melawan, bukan sikit-sikit membuat rayuan atau memperlihat lemahnya jiwa untuk melawan.

Jika yakin tidak bersalah, malah tidak diberitahu apa kesalahan sehingga dipecat atau digantung, maka tiada sebab sama sekali untuk membuat rayuan.

Membuat rayuan kepada kesalahan yang tidak diketahui dan tidak diberitahu lebih bererti melutut kepada kebatilan.

Kalau yang digantung mahu tunggu dengan UMNO, mereka hanya perlu tunggu tempoh penggantungan itu selesai.

Begitu juga yang dipecat, tunggu saja kepimpinan UMNO berubah, barulah ketika itu jika mahu mohon semula sebagai ahli.

Kedua, dipecat atau digantung daripada UMNO bukan pengakhiran sebuah perjuangan dalam kehidupan.

Zaman sudah berubah dan UMNO pun semakin nipis kepercayaannya di kalangan rakyat, bukan macam dulu lagi di mana parti itu sajalah paling relevan untuk berjuang dan mengejar cita-cita.

Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin dan Anwar Ibrahim telah membuktikan kejayaan menjadi Perdana Menteri boleh dicapai bukan melalui wadah UMNO.

Malah, kerana beralih parti juga, ramai yang berpeluang jadi menteri, exco kerajaan negeri dan lain-lainnya.

Pokoknya, jangan takut untuk berhijrah dan mencari wadah baru.

Kepada Hishammuddin dan KJ khususnya, jangan toleh ke belakang lagi!!

Ketiga, semua orang tahu tindakan pemecatan dan penggantungan itu adalah agenda Zahid Hamidi untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO semata-mata.

Bimbang dikalahkan dalam pemilihan UMNO, khususnya kerana prestasi buruk BN dalam PRU15 walaupun sudah diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar Ibrahim, jalan paling mudah untuk mengelakkan dilawan ialah dengan menggantung dan memecat semua pengancam yang dilihat berbahaya kepadanya.

Oleh yang demikian, menjelang PRN enam negeri yang akan datang ini, keutamaan semua pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung itu ialah membuktikan tindakan memecat serta menggantung mereka itu adalah salah dan tidak diterima rakyat.

Rasanya tidak perlu diajar atau diberitahu apa yang perlu mereka lakukan, yang penting ialah memastikan UMNO terus ditimpa kekalahan buruk dalam PRN ini sebagaimana ketika PRU15 lalu.

Hanya dengan kalahnya semua atau sebahagian besar calon-calon UMNO dalam PRN enam negeri nanti saja dapat membuktikan segala keputusan penggantungan dan pemecatan pemimpin yang diambil Zahid Hamidi sebelum ini adalah tindakan yang salah.

Yang penting, jangan berdiam diri dan duduk berpeluk tubuh begitu saja. – ShahbudinHusin 14/06/2023.

https://shahbudindotcom.net/

 

No comments: