SARANAN KEPADA MAHIADDIN - JANGAN JUMPA TUN MAHATHIR SEHINGGALAH PRN BERAKHIR


Shahbudin Hussin

 

 Kalau berjumpa nanti, takut susah pula Muhyiddin nak menolak permintaan Tun Dr Dr. Mahathir bin Mohamad agar diperuntukan sejumlah kerusi untuk penyokongnya dan juga untuk Pejuang yang dipimpin anaknya, Mukhriz…

 

SARANAN KEPADA MAHIADDIN - JANGAN JUMPA TUN MAHATHIR SEHINGGALAH PRN BERAKHIR 

 

Meskipun hasrat Tun Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan Mahiaddin Md Yasin telah disambut positif oleh Presiden Bersatu itu, tetapi setakat ini belum ada sebarang pertemuan atau perbincangan rasmi antara kedua-dua mereka.

 

Dalam rundingan meja bulat Proklamasi Orang Melayu minggu lalu yang dihadiri oleh semua parti di luar kerajaan di mana ia diadakan selepas ada saling kesediaan untuk bekerjasama, Mahiaddin sebaliknya tidak menghadirkan diri atas alasan berada dalam keuzuran.

 

Bercakap dalam sidang media selepas rundingan itu, Tun Mahathir mengumumkan semua parti yang menyokong Proklamasi Orang Melayu bersetuju untuk tidak bertembung sesama sendiri, suatu tindakan yang dilihat seolah-olah beliau telah memproklamasi dirinya sendiri sebagai ketua kepada blok pembangkang yang mana jawatan itu selama ini dipegang oleh Mahiaddin atas kapasitinya selaku Pengerusi PN.

 

Tun Mahathir seterusnya berkata, beliau akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Mahiaddin dalam waktu terdekat ini.

 

“Saya akan ada pertemuan tapi dia (Muhyiddin) dah menyatakan pendirian dia. Dia sokong proklamasi, dan dia tdak menentang saya.

 

“Saya pun tak menentang dia. Ini semua public knowledge.

 

“(Adakah kerjasama ini untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)?) Itu kita akan bincang.

 

“Ada kemungkinan kita akan bertanding dalam PRN…kalau kita dapati itu kehendak kesemua daripada kita,” kata Tun Mahathir lagi.

 

Namun demikian, sehingga ini masih lagi belum berlaku pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut.

 

Perlukah Mahiaddin bertemu dengan Tun Mahathir?

 

Kalau diamati tindakan dan kenyataan Tun Mahathir selepas Mahiaddin mengumumkan sedia untuk bekerjasama dengannya, terutama dalam kenyataan selepas rundingan meja bulat Proklamasi Orang Melayu itu, adalah jelas keutamaan bekas Perdana Menteri berusia 98 tahun itu ialah PRN.

 

Tidak mustahil, keinginan yang disuarakannya sedia bekerjasama dengan Mahiaddin itu pun banyak didorong oleh kepentingan PRN berbanding membela nasib orang Melayu sendiri.

 

Sejujurnya, sebagai individu tidak berparti, bahkan partinya telah ditolak pengundi pada PRU15 lalu dan kemudian keluar daripada Pejuang, Tun Mahathir sepatutnya tidak perlu masuk campur atau sibuk-sibuk lagi mengenai PRN.

 

PRN enam negeri akan datang ini adalah pertembungan antara PH dan parti-parti kerajaan perpaduan dengan PN sebagai blok pembangkang.

 

Untuk itu, adalah disarankan kepada Mahiaddin agar tidak mengadakan sebarang pertemuan atau menangguhkan dahulu perjumpaan dengan Tun Mahathir sehinggalah PRN enam negeri itu berakhir.

 

Oleh kerana sudah ternampak kilat dalam kilau di hati Tun Mahathir berkenaan keghairahan terhadap PRN berbanding Proklamasi Orang Melayu, jika perjumpaan itu diadakan sebelum PRN diadakan, ia akhirnya hanya akan menyusahkan PN saja.

 

Sudah tentu nanti, Tun Mahathir akan meminta diberikan sejumlah kouta kerusi Dun untuk beliau letakkan orang-orangnya sebagai calon di negeri-negeri tertentu, khususnya Selangor dan Kedah.

 

Kouta kerusi itu tentu sekali termasuk kepada Pejuang yang diketuai anaknya, Mukhriz yang sebelum ini permohonan parti itu untuk menyertai PN telah pun ditolak atas alasan tidak mahu menyukarkan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen sedia ada.

 

Ertinya, jika berlaku perjumpaan Mahiaddin dengan Tun Mahathir sebelum PRN ini, pembahagian kerusi akan berubah dan ini akan menyulitkan lagi keadaan PN, walhal tarikh pengundian sudah semakin dekat.

 

Di ketika ini, PN perlu fokus kepada PRN atas kedudukan parti-parti sedia ada dalam gabungan itu tanpa perlu ada pihak luar cuba menempel di saat-saat akhir dengan tuntutan kerusi yang macam-macam, tetapi sebenarnya hanya ingin menumpang kekuatan PN.

 

Lagi pun, soal orang Melayu yang mahu dibela oleh Tun Mahathir melalui Proklamasi Orang Melayu itu boleh dibincangkan selepas berakhirnya PRN nanti.

 

Dalam hal ini, jika Tun Mahathir mahu membawa Proklamasi Orang Melayu bekerjasama secara ikhlas dengan Mahiaddin dan PN, beliau mesti hadir memberi sokongan kepada gabungan itu dalam PRN ini tanpa sebarang syarat.

 

Juga, jangan cuba-cuba meletakkan dirinya sebagai ketua kepada blok pembangkang atau meminta-meminta kerusi untuk kelompoknya atau parti yang diketuai anaknya.

 

Sokongan dan kerjasama beliau kepada Mahiaddin dan PN mesti dihadirkan tanpa syarat serta sepenuh ikhlas, dan Tun Mahathir yang tiada part itu mesti sedia meletakkan dirinya bukan sebagai ketua kerana PN sudah pun ada Mahiaddin sebagai ketuanya.

 

Tetapi, sebagai jalan selamat kepada PN, yang mustahak sekali ialah Mahiaddin harus mengelak daripada berjumpa atau bertemu Tun Mahathir sebelum PRN diadakan kerana kadang-kadang bila sudah berjumpa, susah pula untuk menolak permintaannya, selain macam tak manis juga jika tidak melayan permintaan orang yang lebih tua.

 

Lepas PRN berakhir, bukan saja ketika itu lebih selesa, bahkan tiada tekanan sama ada di pihak Tun Mahathir atau Mahiaddin untuk membincangkan mengenai Proklamasi Orang Melayu. – ShahbudinHusin 13/06/2023.

 

https://shahbudindotcom.net/


No comments: