Teruskan subsidi ayam, telur pastikan harga berpatutan, perniagaan bertahan




Tindakan Kerajaan Perpaduan meneruskan subsidi ke atas pengeluar ayam dan telur sewajarnya disokong penuh dan dialu alukan.



Menurut Anggota Jawatankuasa Khas Kos Sara Hidup, Keusahwanan dan Pertanian Parlimen Malaysia, Hassan Abdul Karim, penerusan subsidi itu bukan sahaja menjamin harga asas ayam dan telur mampu dibeli rakyat tetapi juga untuk memastikan pengeluar boleh bertahan dan terus menghasilkan bekalan.



"Saya secara peribadi sebagai Ahli Parlimen dan juga anggota Jawatankuasa Khas Kos Sara Hidup, Keusahwanan dan Pertanian menyokong pengumuman Perdana Menteri untuk meneruskan subsidi ayam dan telur



"Dengan adanya pemberian subsidi bermakna industri ternakan ayam dan telur di Malaysia dapat hidup serta dapat mengeluarkan bekalan yang mencukupi di pasaran



"Apabila industri ternakan diberi subsidi ia bermakna Kerajaan boleh menguatkuasakan harga kawalan ke atas ayam dan telur



"Bila harga ayam dan telur terkawal ia bermakna rakyat dapat membeli kedua bahan mentah itu yang menjadi sumber makanan dan protein dengan harga mampu beli," katanya dalam satu kenyataan.



Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu lagi, tindakan memberi subsidi pada jangka pendek atau sederhana tidak akan menjelaskan ekonomi.



Katanya, subsidi perlu diberi memandangkan kos pengeluaran ayam dan telur naik mendadak akibat harga makanan ayam yang diimport melonjak berikutan pandemik Covid-19, perang di Ukraine dan rantaian bekalan yang terganggu serta nilai Ringgit merosot berbanding Dolar Amerika.



"Kerajaan Persekutuan cukup menyedari langkah memberi subsidi untuk bekalan ayam dan telur perlu disemak semula apabila industri pengeluaran ayam dan telur pulih serta dapat berdikari



"Maka waktu itu apabila industri telah siap sedia, barulah subsidi ayam dan telur ditamatkan di mana pengeluar ayam dan telur itu berupaya menjual dengan harga yang berpatutan dalam keadaan pihak pengeluar boleh mendapat keuntungan.



"Kerajaan Persekutuan akan dapat menjimatkan berpuluh billion ringgit setahun apabila industri ayam dan telor ini dapat bangkit semula dan harga kembali stabil di pasaran pada ketika itu," katanya lagi.



Tambah Hassan, sekiranya penarikan subsidi dibuat maka ianya akan memberi kelebihan kepada ekonomi negara. Namun ketika ini, katanya, subsidi ayam dan telur masih amat perlu diteruskan.

 

No comments: