ABIM MAHU PELAJAR INTERN DIBAYAR


 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak industri di negara ini segera mempertimbangkan elaun sara diri berpatutan bagi pelajar yang menjalani latihan industri atau ‘internship’.

Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, luahan kebimbangan seorang pelajar universiti awam baru baru ini sama ada beliau dapat bertahan sepanjang menjalani internship pada bulan Oktober 2023 sepatutnya diberi perhatian serius.

“ABIM menggesa Kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia meneliti isu ini supaya ia mendapat pertimbangan sewajarnya.

“ABIM menegaskan ‘intern’ tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma, malah telah dibangkitkan dalam Persidangan Buruh Antarabangsa pada Jun 2023 di Geneva supaya majikan tidak memberikan bayaran yang terlalu rendah terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Faisal berkata, ABIM menyedari elaun bagi pelajar intern tidak wajib di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Namun katanya, dalam negara Madani yang mengutamakan prinsip Ihsan dan ekonomi manusiawi sebaik baiknya majikan mempertimbangkan sejumlah kewangan kepada pelajar untuk menampung kos minimum perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan, selain insentif peralatan seperti komputer riba dan sebagainya.

“ABIM juga dalam hal ini menyarankan para pelajar mendapatkan maklumat berkenaan tempat latihan intern terlebih dahulu supaya isu bayaran elaun dapat diatasi di peringkat awal, serta tempat intern adalah bersesuaian dengan bidang pengajian.

“ABIM turut menggesa pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk membantu menjadi pemudah cara dengan pihak industri, seperti memastikan tempat praktikal adalah kondusif dan selamat untuk pelajar menimba dan menjana pengalaman berharga,” katanya lagi.



No comments: