Kenyataan Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman bahawa parti itu akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini merupakan sikap yang tidak wajar ditunjukkan sebagai sekutu Pakatan Harapan (PH) sejak 2022 lalu.
Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Faezuddin Puad, kepimpinan Muda tidak seharusnya cepat melatah apabila kemungkinan tidak mendapat kerusi dalam PRN kerana terbukti parti itu gagal menarik sokongan pengundi sejak PRN Melaka pada 2021 lalu.
"Muda gagal tarik sokongan orang muda dalam PRN Johor, PRN Melaka dan PRU 15 sebelum ini. Buktinya mereka kalah semua kerusi kecuali kerusi selamat DUN Puteri Wangsa dan Muar. Dua kerusi ini asalnya milik PH sebelum diberikan kepada Muda.
"Prestasi yang teruk ini mungkin jadi sebab Muda tak diberi peluang bertanding PRN 6 negeri.
"Muda patut cermin muka dan kena sedar diri," katanya dalam satu kenyataan.
Sikap Muda yang berkhianat dan terus bertanding di DUN Larkin biar pun tidak diberikan kerusi tersebut dalam PRN Johor 2022 juga, kata Faezuddin masih belum dilupakan oleh KEADILAN.
Sebaliknya, kata beliau, Muda bukannya mahu memperbaiki prestasi sokongan tetapi cuba pula untuk menjadi jaguh dalam isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) biar pun Kerajaan Perpaduan memberi jaminan sedang menyiasat perkara itu di samping menyiapkan kapal berkenaan.
Terbaharu, katanya, tindakan PMX bergurau dengan anak muda pula dijadikan isu oleh pemimpin Muda, seolah olah ianya satu kesalahan besar.
"Kalau nak ungkit macam-macam keluar, saya kira pimpinan PH dah banyak berlapang dada dan beri ruang. Tapi budi baik pemimpin PH ini dibalas begini, ibarat kacang lupakan kulit.
"Banyak tindakan Muda menjejaskan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan. Kalau perangai seperti ini, jika dihumban keluar sekalipun tidak akan merugikan Kerajaan Perpaduan," sinisnya.
Bagi Faezuddin, sekiranya Muda ingin bertanding solo dan menjadi saingan kepada PH atau Kerajaan Perpaduan maka medan pertarungan terbuka untuk parti itu membuktikan sokongan rakyat kepada mereka.