Walaupun diasak UMNO, PM belum dapat ilham bila nak bubar Parlimen


 

PRU-15 mungkin diadakan semasa musim banjir selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sedia meredahnya sekalipun pilihan raya diadakan.

 

Ketika desakan terus kencang daripada UMNO supaya membubarkan segera Parlimen, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan beliau belum mendapat ilham bila akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 September ini.

“Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat, menurut Bernama.

Sebelum ini, pemimpin tertinggi UMNO terus mengasak Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan segera tahun ini, tanpa mempedulikan kepentingan rakyat menghadapi krisis dan bencana setelah pandemik Covid-19 semakin pulih.

Ketika majoriti ahli Parlimen, termasuk daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri, menolak pilihan raya diadakan segera tahun ini, beberapa kerat pemimpin parti itu, terutama presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, terus mendesak Perdana Menteri membubar segera Parlimen.

Selain itu, majoriti Jemaah Menteri, termasuk yang mewakili UMNO, turut menolak PRU-15 diadakan tahun ini kerana berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada November dan berakhir pada Mac.

Ketika tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer sejam dengan beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka berlaku, terutama di negeri Pantai Timur Semenanjung dan barat Sarawak.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT UMNO.

“Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang,” katanya. Top 5 merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

Ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa berada di bandar raya ini dan adakah ia semakin dekat, Ismail Sabri menjawab “belum lagi.”

“Saya berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara” katanya.

Perdana Menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau untuk membangunkan kawasan seumpama itu.

“Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya.