Apabila Presiden UMNO, Ahmad
Zahid Hamidi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada 40 pertuduhan
rasuah berkaitan projek visa luar negara Jumaat lalu, persoalan yang menjadi
penantian pemerhati politik dalam UMNO ialah apakah gerakan politik beliau
selepas ini?
Adakah beliau akan lebih menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri
Yaakob untuk mempercepatkan lagi tarikh PRU15 atau sebaliknya?
Daripada satu segi, bebasnya beliau itu memberi kenaikan moral
kepadanya untuk lebih mempercepatkan tarikh PRU15 kerana UMNO nampaknya
sekarang ini bersemarak semangat mereka dengan pembebasan tersebut.
Jika dalam kes Najib Razak yang dihantar ke penjara dan Rosmah
Mansor yang didapati bersalah sebelum ini membuatkan mahkamah diselubungi
dengan dakwaan tidak adil dan berat sebelah, penilaian terhadap institusi
keadilan itu kini sudah bertukar dengan serta-merta.
Dengan itu, sementara Zahid Hamidi sendiri sedang gembira dengan
keputusan mahkamah itu, disertai ahli-ahli UMNO tengah membara semangat mereka,
menekan untuk mempercepatkan lagi tarikh PRU15 dianggap adalah tindakan paling
sesuai sekali dilakukannya.
Ini kerana, walaupun Zahid Hamidi ada 47 kes lagi sedang
dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan Yayasan Akalbudi,
pembebasan daripada 40 pertuduhan pada Jumaat lalu seperti sedang membersihkan
beliau buat sementara waktu daripada semua kes mahkamahnya.
Dengan itu, ramai yang memberi logik bahawa Zahid Hamidi akan
meningkatkan lagi tekanannya kepada Ismail Sabri serta semakin tidak
memperdulikan risiko banjir yang mungkin melanda beberapa negeri pada hujung
tahun ini.
Tetapi, bersama risiko banjir yang hangat diperkatakan oleh
pelbagai pihak sebagai sokongan kepada Ismail Sabri agar menangguhkan PRU15
sehingga tahun depan, bebasnya beliau daripada 40 pertuduhan itu tidak mustahil
juga boleh menukar Zahid Hamidi menjadi lebih bertolak ansur dan tidak lagi
terlalu memberi tekanan kepada Perdana Menteri.
Sebagaimana yang diketahui umum, mesyuarat kabinet pada Rabu
tidak mencapai kata sepakat berkenaan pembubaran Parlimen kerana majoritinya
memberi pandangan lebih sesuai PRU15 diadakan pada tahun depan.
Jika kabinet terus gagal mencapai kata sepakat, sementara UMNO
pula memberi tekanan, keadaan itu boleh menjejaskan lagi kedudukan Perdana
Menteri sebagai “poster boy” untuk membawa kemenangan kepada BN.
Ismail Sabri sebelum ini sudah memberi jaminan bahawa
persetujuan kabinet akan diperolehi terlebih dahulu sebelum beliau mengadap
Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Ini bermakna, walaupun ditekan oleh UMNO, Ismail Sabri mesti
mengambil kira pandangan kabinet berkaitan pembubaran Parlimen.
Perdana Menteri yang telah dipilih sebagai “poster boy” yang
sudah tentu dengan sandaran untuk membawa kemenangan kepada BN, beliau tidak
harus dilihat terus ditekan oleh partinya sendiri iaitu UMNO.
UMNO mesti sentiasa dilihat bersama dan senada dengan Perdana
Menteri supaya kebersamaan itu membuatkan rakyat juga yakin untuk mengundi BN.
Jadi pilihan terbaik bagi Zahid Hamidi, sementara hanya tinggal
47 kes sedang dihadapinya berbanding 87 sebelum ini, dibebaskan daripada 40
pertuduhan itu sepatutnya dapat mengurangkan separuh tekanan yang sedang
dihadapinya.
Kurangnya tekanan itu sebaiknya diiringi sama dengan kesediaan
beliau mengurangkan tekanan kepada Ismail Sabri untuk mempercepatkan PRU15
kerana akhirnya yang lebih memastikan BN mampu beroleh kemenangan ialah adanya
kesepakatan dan sehati sejiwa sesama pemimpin UMNO.
Zahid Hamidi malah akan lebih dihormati jika lebih memberi
perhatian kepada baki kes mahkamahnya, selain kekal memastikan UMNO sentiasa
bersiap sedia menghadapi PRU15 dan menyerahkan kepada Perdana Menteri
menentukan tarikh pembubaran Parlimen tanpa sebarang gangguan atau tekanan. . –
ShahbudinHusin 26/09/2022.