PRU-15 mungkin diadakan
semasa musim banjir selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
berkata sedia meredahnya sekalipun pilihan raya diadakan.
Ketika desakan terus kencang
daripada UMNO supaya membubarkan segera Parlimen, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob mengesahkan beliau belum mendapat ilham bila akan mengadakan Pilihan
Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana
Menteri berkata sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen
bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30
September ini.
“Pada
30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT
(Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media di akhir
lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat, menurut Bernama.
Sebelum
ini, pemimpin tertinggi UMNO terus mengasak Ismail Sabri yang juga Naib
Presiden parti supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan
segera tahun ini, tanpa mempedulikan kepentingan rakyat menghadapi krisis dan
bencana setelah pandemik Covid-19 semakin pulih.
Ketika majoriti ahli Parlimen,
termasuk daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri, menolak pilihan raya
diadakan segera tahun ini, beberapa kerat pemimpin parti itu, terutama
presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi
Dusuki, terus mendesak Perdana Menteri membubar segera Parlimen.
Selain
itu, majoriti Jemaah Menteri, termasuk yang mewakili UMNO, turut menolak PRU-15
diadakan tahun ini kerana berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi
Malaysia, Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada November dan berakhir
pada Mac.
Ketika
tempoh ini, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur
laut di antara 10 hingga 20 kilometer sejam dengan beberapa siri hujan lebat
yang menyeluruh juga dijangka berlaku, terutama di negeri Pantai Timur
Semenanjung dan barat Sarawak.
Mengulas
lanjut, Ismail Sabri berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda
mesyuarat MT UMNO.
“Saya
pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan
bincang,” katanya. Top 5 merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga
Naib Presiden UMNO.
Ditanya
sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen semasa
berada di bandar raya ini dan adakah ia semakin dekat, Ismail Sabri menjawab
“belum lagi.”
“Saya
berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan bagaimana kawasan hijau
seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini dikekalkan dan dipulihara”
katanya.
Perdana
Menteri berkata jika di Malaysia, pasti akan ada cadangan di atas meja beliau
untuk membangunkan kawasan seumpama itu.
“Saya
mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk
pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya.