Program vaksinasi tidak serancak seperti yang dicanangkan – Zaid

 

By

 Manzaidi Mohd Amin


Zaid Ibrahim


Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu diberi penjelasan mengenai perjalanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta kenapa kerajaan hanya menggunakan tiga jenis vaksin sahaja tanpa tambahan vaksin lain bagi memastikan semua 32 juta penduduk menerima imunisasi.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Pejabat Perdana Menteri perlu lebih proaktif memainkan peranan itu, termasuk mengarahkan semua menteri turut serta dalam memberi penerangan kepada rakyat.

Katanya, beliau tertarik dengan polemik antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersoal jawab melalui rakaman video mengenai vaksin.

“Penjelasan seperti ini yang rakyat mahu dengar dan tahu. Malah, menteri-menteri lain yang sudah lama ‘menghilangkan’ diri, harus menggunakan platform ini untuk menjelaskan isu kepada rakyat.

“Sama ada rakyat berpuas hati atau tidak dengan penjelasan itu, soal lain. Tetapi, sekurang-kurangnya ada dialog antara menteri dengan rakyat dan ahli politik,” katanya menerusi rakaman video, hari ini.

Zaid begitu aktif dalam memberi pandangan terhadap isu semasa, sama ada melalui tulisan yang dimuatnaik menerusi laman sosialnya Facebook dan Twitter mahupun video.

Mengenai PICK, beliau yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, prosesnya lebih tepat kalau dikatakan terlalu lembap dan tidak serancak yang dicanangkan.

Beliau bimbang kerajaan tidak mempunyai bekalan vaksin mencukupi atau membuat pesanan dalam kapasiti yang kecil, sedangkan Malaysia mempunyai kira-kira 32 juta penduduk.

“Saya tidak tahu apa masalahnya, tapi dari penjelasan menteri tempoh hari, dia kata pada Disember ini negara akan mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat bagi menamatkan pandemik Covid-19.

“Kalau itu sasarannya, bermakna 3 juta orang perlu disuntik setiap bulan. Jadi, saya tidak tahu bagaimana kerajaan boleh mencapai angka ini mengikut jadual.

“Saya rasa kerajaan kena berterus terang, kalau tidak ada vaksin, cari jenis lain, takkan bergantung kepada Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca sahaja. Kita boleh guna vaksin lain seperti Moderna, Johnson & Johnson, Sinopharm dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau juga hairan kenapa kalau ada pihak lain hendak membeli vaksin, perlu membuat permohonan dan mendaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)?

Sedangkan, kerajaan mempunyai bajet lebih RM5 bilion untuk membeli vaksin dan rakyatnya perlu disuntik setiap hari sepanjang tempoh 24 jam bagi melengkapkan pusingan dos mengikut tarikh disasarkan.

Beliau turut mengkritik tempoh masa dua setengah jam dilalui setiap penerima vaksin, yang memperlihatkan sistem giliran yang tidak relevan.

“Proses diambil dua setengah jam seorang untuk selesai cucuk. Ada poses kaunseling dan macam-macam lagi, Boleh tak percepatkan proses ini, supaya kerajaan dilihat betul-betul mahu mengatasi masalah pandemik ini,” katanya.