TV Pendidikan: Mengapa tidak guna saluran percuma RTM?
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang mahukan jawapan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengapakah siaran TV Pendidikan disiarkan melalui syarikat swasta Media Prima dan bukannya melalui RTM milik kerajaan.
Menurut satu kenyataan jawatankuasa tersebut, sehingga kini tiada penjelasan munasabah yang diberikan pihak KPM mengenai persoalan kontrak penyiaran bahan pendidikan oleh DidikTV yang dikendalikan oleh Media Prima.
“Umum tahu siaran DidikTV bermula di NTV7 pada 16 Februari lalu, dua hari sebelum sesi persekolahan bersemuka dimulakan. Mulai 1 Mei pula pemegang taruh BSTP KPM tidak lagi melaksanakan sebarang rakaman dan Penerbitan Rancangan TV Pendidikan.
“Semua telah diserah kepada DidikTV secara rundingan terus di dalam darurat oleh KPM pada kadar yang tidak dinyatakan. Umum ingin mengetahui, berapakah nilai bayaran airtime 17 jam sehari selama sebulan sehingga 3 tahun kepada DidikTV oleh KPM?
“Sedangkan umum mengetahui, pihak Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) melalui RTM pernah memberi laluan siaran TV Pendidikan slot airtime secara percuma, bahkan KKMM pada asalnya mewujudkan saluran baharu TV6 sebagai TV Pendidikan tetapi saluran ini telah ditolak oleh YB Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin.
“Kami minta KPM memberi penjelasan munasabah dalam hal ini,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Pendidikan PH juga mempersoalkan apakah keuntungan bagi rakyat dan KPM untuk membuat bayaran siaran kepada DidikTV pada saat kerajaan boleh menggunakan fasiliti siaran TV Kerajaan pada waktu darurat.
Mereka juga ingin tahu berapa juta ringgitkah nilai kontrak rundingan terus yang telah diberikan kepada Media Prima?
Selain itu, jawatankuasa turut mahu penjelasan mengenai hak cipta isi kandungan Didik TV sama ada dimiliki oleh Media Prima atau pun KPM kerana mereka mendakwa isi kandungan tersebut menampilkan guru-guru dan silibus KPM.
“Bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) program video siaran yang dihasilkan oleh DidikTV secara siaran langsung bersama guru-guru KPM ini diletakkan di platform digital Tonton milik Media Prima. Persoalannya siapakah yang memiliki hakcipta program-program tersebut? KPM atau Media Prima?
“Bukankah KPM mempunyai pelantar pembelajaran Delima dan EduwebTV, malangnya sehingga kini bahan-bahan tersebut tidak kelihatan di Delima dan EduwebTV?
“Berapakah bilangan penonton DidikTV sehingga kini? Apakah berbaloi puluhan juta ringgit duit rakyat dilaburkan berbanding bilangan penggunanya?
“Apa yang pasti semuanya kabur dan masih tidak jelas. Kami juga ingin bertanya ke manakah hala tuju TV Pendidikan di bawah Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin?” soal mereka.
Selain itu, turut dibangkitkan, isu Kontrak Perbekalan kandungan TV Pendidikan oleh Syarikat Swasta Sewaktu perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat tahun lalu.
Jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam yang bertanya mengenai kontrak bernilai RM1.9 juta diberikan kepada sebuah syarikat tetapi tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan dijawab dengan mengemukakan tarikh baharu, dilanjutkan dari 30 November 2020 kepada 31 Mac 2021
“Persoalannya, apakah status pembuatan kandungan tersebut pada waktu ini? Apakah kesemua 800 kandungan tersebut telah selesai? Ataupun terpaksa ditangguhkan lagi? Jika benar, berapa lama kerajaan membenarkan penangguhan tersebut?
“Berapakah pula bayaran yang telah dibuat pada syarikat penyedia kandungan setakat ini? Apakah masih tetap dengan nilai RM 1.9 juta juga?” tanya mereka.
Oleh itu, jawatankuasa berkenaan mengharapkan pihak Menteri dan Timbalan-timbalannya tidak memperjudikan pendidikan negara dan masa depan anak-anak bangsa dalam permainan politik mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah), Wilfred Madius Tangau (UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda), Amiruddin Hamzah (Pejuang) dan Ahmad Hassan (Warisan).