FMT Reporters -May 24, 2021
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, anggota badan
kehakiman harus diberikan layanan sama rata seperti badan eksekutif dan
perundangan.
PETALING
JAYA: Anggota badan kehakiman perlu divaksin segera dalam fasa ke-2 Program
Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Mengakui
bahawa kedua-dua cabang eksekutif dan perundangan kerajaan telah divaksin di
bawah fasa pertama program itu, melainkan badan kehakiman, bekas timbalan
menteri itu berkata, ketiga-tiga badan itu seharusnya diberi layanan sama rata
dan adil.
Beliau
berkata, sewaktu kesemua anggota badan perundangan telah divaksin walaupun
Parlimen tidak bersidang, anggota badan kehakiman “ketinggalan” walaupun
mahkamah terus dibuka.
“Badan
kehakiman merupakan tempat rakyat Malaysia mendapatkan keadilan dan pembelaan,”
katanya dalam kenyataan.
“Kita perlu memastikan akses orang ramai kepada keadilan tidak
terganggu. Justeru hakim, majistret dan kakitangan mahkamah perlu divaksin
dengan segera di bawah fasa ke-2.
“Mereka adalah petugas barisan hadapan yang menjalankan
keadilan. Kita tidak boleh membenarkan roda keadilan terhenti atau terhalang
dengan apa-apa cara sekalipun. Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang
dinafikan.”
Fasa ke-2 program imunisasi negara yang bermula bulan lepas akan
berakhir pada Ogos depan. Ia melibatkan kira-kira 9.4 juta individu seperti
warga emas, kumpulan berisiko tinggi dan orang kelainan upaya (OKU).
Fasa pertama yang berjalan dari Februari hingga April menyaksikan
428,710 individu divaksin, termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) serta petugas barisan hadapan seperti pekerja penjagaan kesihatan,
pertahanan, keselamatan serta perkhidmatan perlu lain.