Bangkit bantu palestin apa jua cara – Badrulamin
Perdamaian kekal di Palestin hanya boleh dicapai sekiranya umat Islam bangkit dan menolak diperkotak-katikkan oleh kuasa besar dunia.
Menurut Presiden NGO Pro98 Reformis, Dr Badrulamin Bahron, gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dicapai baru-baru ini tidak menjamin kestabilan di rantau itu kerana Israel berdasarkan pengalaman lalu tidak menghormati sebarang perjanjian.
“Yahudi dengan kesombongan tidak pernah berpegang pada janji mereka. Umat Islam harus bangkit, umat dunia harus bangkit kita ganyang mereka. Buat apa?
“Minimum doa. Ada Facebook tolong kongsi kezaliman Yahudi, kongsi Twitter, WhatsApp dan sebagainya
“Jika ada kelebihan kewangan, banyak NGO yang buat kutipan dana seperti ABIM, MAPIM, Aman Palestin, berikankah kepada mereka.
“Ada isu derma tidak sampai kerana ada yang tidak jujur. Tetapi saya beri jaminan seperti MAPIM, ABIM yang saya terlibat dengan mereka, mereka ini jujur dalam menjalankan tugas,” katanya dalam siaran langsung Facebook, baru-baru ini.
Menjawab persoalan umum mengenai adakah semua Yahudi jahat dan ingin memusnahkan umat Islam, Dr Badrul yang juga seorang penceramah bebas itu memberi penjelasan mengenai sejarah ribuan tahun bangsa Yahudi.
Katanya, Yahudi sama sahaja seperti bangsa-bangsa lain, ada yang baik dan jahat. Keturunan asal Yahudi bersusur galur dari Nabi Yaakob dan disebut bani Israel.
Namun, menurut Dr Badrul, pada 1920an timbul satu gerakan pelampau Yahudi di tanah Palestin yang dinamakan Zionisme. Gerakan itu tidak berasal dari Yahudi tempatan tetapi dipelopori Yahudi luar yang didukung oleh kuasa besar seperti Great Britain, ketika itu.
“Yang jadi persoalan adalah gerakan Zionisme ini, satu gerakan pelampau yang cukup jahat dan masuk ke tanah Palestin awal 1920an. Mereka bukan sahaja masuk rampas tanah Palestin tetapi mereka bunuh orang Kristian, bunuh Yahudi (asal) dan bunuh orang Islam.
“Sebelum itu, Palestin negara aman yang didiami 3 agama teras dunia, iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Hinggalah masuk golongan pelampau Zionis yang membuat kerosakan.
“Tahun 1930an dan 40an mereka didukung oleh Britain. Mereka panggil Yahudi dari seluruh dunia, dari Eropah, Afrika, Rusia untuk datang ke tanah bumi Palestin.
“Tahun 1948 Britain bawa mereka datang sehelai sepinggang dan mereka ditempatkan di khemah. Orang yang bertanggungjawab mengumpulkan Yahudi ini adalah Henry Gurney dan membuat penempatan pertama pada tahun 1948,” katanya.
Dr Badrul yang telah 5 kali ke Palestin dalam misi kemanusiaan itu berkata kezaliman Zionis sebenarnya bermula pada 1948 apabila penempatan pertama dibina. Kemudian penempatan tersebut diperluaskan dengan merampas lebih banyak tanah penduduk Palestin.
“Penempatan dibina atas tanah orang Palestin. Tanah asal orang Yahudi, Islam dan Kristian.
“Walaupun hari ini kelihatan yang ditindas orang Islam, kerana mereka majoriti penduduk Islam di sana. Adakah Yahudi tidak menentang? Yahudi Ortodoks menentang Zionis. Kristian juga menentang. Malah tunjuk perasaan seluruh dunia hari ini dari golongan Yahudi Ortodoks dan Kristian.
“Zionis rampas tanah Palestin, ambil kebun, mereka buat penempatan pendatang dengan tembok yang tinggi. Saya sudah empat kali ke Palestin (Masjid Aqsa) dan sekali ke Gaza.
“Saya lihat penempatan mereka ini memang eksklusif, jalan masuk dijaga rapi. Tembok tinggi yang tak mungkin ditembusi orang lain dan di dalam penempatan itu pelbagai kemudahan disediakan,” katanya lagi.