Kasino: Pas dan Umno hilang sensitiviti agama( KENYATAAN MEDIA AMANAH PAHANG)

 


Kasino: Pas dan Umno hilang sensitiviti agama


KENYATAAN MEDIA

PARTI AMANAH NEGARA NEGERI PAHANG

Kuantan, 24 Mei 2021

1. AMANAH Pahang menzahirkan rasa terkejut, duka dan kesal yang mendalam terhadap pendedahan beberapa pihak bahawa pusat Kasino Genting masih beroperasi pada musim pandemik ini.

https://m.malaysiakini.com/news/575896

2. Suasana tersebut menggambarkan bahawa ketika rakyat terpaksa menutup, mengurangkan terus operasi perniagaan, berhadapan dengan kompaun tinggi, pusat kasino dibiarkan beroperasi tanpa sebarang tindakan.

3. Amanah Pahang turut menzahirkan rasa pelik terhadap PAS khususnya di Pahang yang umpama bisu terhadap pembukaan pusat kasino ini. Mana perginya taring Pas dan pimpinannya khusus Pesuruhjaya Pas pahang dan Ketua Dewan Ulamak yang dahulu begitu lantang menyerang institusi judi ini?

4. Keadaan pusat kasino yang beroperasi, apatah lagi di musim rakyat terpaksa mengikat perut ini adalah satu penghinaan dan tindakan paling biadap terhadap umat Islam dan rakyat negara ini.

5. Amanah Pahang hairan bagaimana kononnya kerajaan BN pahang yang disokong Pas ini atas nama Muafakat Nasional seolah-olah tunduk kepada taukeh-taukeh judi sehingga sanggup memperjudikan masa depan dan nyawa rakyat apatah lagi pusat perjudian tersebut adalah terbukti diantara “Kluster” penularan Covid 19 di dalam negara ini.

6. Amanah Pahang turut melahirkan kebimbangan dengan nasib pekerja di pusat kasino berkenaan yang berhadapan risiko penularan Covid 19 memandangkan apabila ia dibuka sudah tentu mengundang pengunjung secara meluas.

7. Amanah Pahang menyelar sikap Kerajaan BN dan sekutunya Pas Pahang di atas sikap mereka yang sangat lemah, daif dan tidak langsung peduli kepada sensitiviti umat Islam dan rakyat Pahang.

8. Sudahlah Pas dan Umno menggunakan sentimen agama kononnya mereka bersatu untuk menegakkan agama, tetapi dalam masa yang sama, membiarkan pusat perjudian seperti kasino Genting terus beroperasi. Hentikan segera pembohongan kepada rakyat khususnya di Pahang.

9. Kepada rakyat dan seluruh umat Islam, Amanah Pahang mengajak dan menyeru agar kita bersatu supaya memberikan tekanan agar pusat perjudian ini ditutup terus. Sesungguhnya Pas dan Umno sudah tidak boleh lagi diharapkan untuk membela nasib agama dan negara ini.

10. Mereka hanya pandai bersuara bila menjadi pembangkang, tetapi seolah-olah ayam berak kapur bila berkuasa. Bak kata pepatah “kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi”!

Sekian. Terima kasih.

Hj Zulkifli Mohamed
Pengerusi
Parti AMANAH Negeri Pahang