Kuasa 'pawri': Video 5 saat di media sosial 'sejukkan' hubungan India-Pakistan

 

Agensi
Kuasa 'pawri': Video 5 saat di media sosial 'sejukkan' hubungan India-Pakistan
Dananeer Mobeen tidak sangka video pendeknya meraih perhatian jutaaan orang, dan berharap ia akan diterjemah menjadi suatu dialog antara India dan Pakistan. - Reuters
KARACHI: Seorang pelajar berusia 19 tahun yang meraih populariti kerana klip videonya tular di seluruh rantau itu, berharap setiap monolognya mampu diterjemah kepada dialog keharmonian antara negara India dan Pakistan.
Reuters melaporkan, video berdurasi 5 saat yang dirakam Dananeer Mobeen, pelajar Pakistan dari pergunungan Nathaigali, telah dimuat naik ke Instagram. Video itu menunjukkan sekumpulan anak muda yang sedang berseronok di pinggir jalan.
Dalam video itu, Mobeen dalam bahasa Urdu berkata, “Ini kereta kami, ini kami dan ini adalah pesta kami.”
Bersahaja dan tanpa niat menghina, Mo been sengaja menyebut perkataan ‘party’ menjadi ‘pawri’ untuk mengusik kebiasaan rakyat Asia Selatan yang suka meniru cara sebutan orang Barat.
Video itu tanpa disangka sohor dan tular di media sosial kedua-dua negara – India dan Pakistan, malah menjadi tanda pagar (hashtag) yang meraih jutaan penonton dan ratusan lagi suntingan semula.
"Ia hanya video biasa. Saya awalnya tidak ada niat untuk memuat naik video itu,” ujar Mobeen yang agak terkejut apabila ia meraih perhatian di platform maya.
Sejak video Mobeen tular, dia menerima banyak tawaran wawancara, berlakon, kerja modeling dan tajaan produk. - Reuters
Sejak video Mobeen tular, dia menerima banyak tawaran wawancara, berlakon, kerja modeling dan tajaan produk. - Reuters
Pelbagai versi monolog ‘pawri’ kemudian dirakamkan pengguna media sosial lain, termasuk pasukan polis di India dan Suruhanjaya Wanita di Delhi dalam kempen masing-masing.
Dalam satu video lain, dua tentera India yang ditugaskan di kawasan pergunungan bersalji membuat video mereka sendiri: “Ini kami, ini senapang kami, dan kami sedang meronda di sini.
Sementara pelakon popular Bollywood seperti Ranveer Singh dan Deepika Padukone juga membuat versi mereka sendiri dan menjadi tular juga.
Ahli politik juga tidak mahu ketinggalan, dengan pemimpin dari parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party, menggunakan frasa popular itu dalam kempen pilihan raya.
"Saya rasa terharu dan berterima kasih atas semua sambutan mesra ini melepasi sempadan negara saya,” kata Mobeen.
India dan Pakistan, yang kedua-duanya negara yang memiliki senjata nuklear, telah terlibat dalam tiga peperangan dan sering bertelagah sejak meraih kemerdekaan pada 1947. Kebanyakannya melibatkan isu wilayah Kashmir yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.
Sejak video itu tular, Mobeen telah menerima banyak tawaran berlakon dan kerja modeling, selain tajaan produk.
Tidak terlalu teruja, gadis itu sebaliknya memberitahu dia lebih berminat untuk berkhidmat dengan agensi hubungan luar Pakistan.