Kecoh permohonan cuti 55 hari dinikmati oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, terbongkar pula ‘sembang lebat’ Datuk Seri Dr Santhara Kumar semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sedutan ceramah itu tular dikongsi warga maya di pelbagai platform media sosial lengkap dengan apa yang sebenarnya Santhara lakukan selepas PRU-14.
Dia yang ketika PRU 2018 sebagai calon PKR untuk kerusi Parlimen Segamat antara lain berkata akan bekerja untuk satu ringgit sahaja.
Wakil rakyat yang bukan dari kalangan pribumi pertama menjadi ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga lantang menegaskan akan menyalurkan pendapatannya sebagai Ahli Parlimen ke dalam akaun amanah.
“Saya kalau menang di Parlimen Segamat, gaji saya, elaun saya, apa semua saya letak dalam trust account, kita akan bantu!
“Saya akan kerja untuk satu ringgit sahaja! Saya tidak kisah dekat Parlimen ke, jadi menteri ke, saya tak perlukan duit.
“Ini bukan pasal duit. Ini adalah masalah harga diri kita!” katanya.
Video bernada sindiran berdurasi hampir seminit itu juga mengajak orang ramai mengingatkan Santhara akan janji-janjinya.
“Marilah kita membantu Edmund Santhara menyedari janji dan tugasnya. Mungkin beliau mudah lupa,” sinisnya.
Santhara sebelum ini yang kurang dikenali umum, muncul menggemparkan orang ramai apabila permohonan cutinya selama 55 hari untuk melawat isteri dan anak-anak di New Zealand diluluskan oleh Perdana Menteri.
Ekoran pertikaian banyak pihak termasuk ahli-ahli politik Umno, Santhara dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu permohonan cutinya itu juga disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pada 10 Disember 2020.
Jelasnya, permohonan cuti itu berdasarkan kelayakan Cuti Rehat seperti ditetapkan dalam peraturan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri, selain kelayakan Cuti Tanpa Gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan Cuti Rehat.
Selain bertemu dengan dengan anak yang berusia sembilan tahun, dia juga mahu melawat anaknya yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang serta menziarahi isteri yang mengalami masalah kesihatan.