POSTED BY AMIR WRLR
Pembukaan hotel baharu, Pacific Regency Hotel, Port Dickson
semalam disifatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai udara segar dalam
industri pelancongan di tengah-tengah kemuraman ekonomi.
Berucap dalam majlis perasmian hotel berkenaan Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembukaan itu merupakan satu kejutan dalam industri pelancongan negara.
"Kita mendapat udara segar dalam keadaan tekanan, kerana kita selalu diberi gambaran negatif mengenai kejatuhan industri pelancongan terutama hotel dan resort.
"Kita tahu banyak berlaku penutupan (hotel), di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang, di banyak tempat. Bukan sahaja penutupan malah penjualan aset hotel dalam kemuraman ekonomi yang kita hadapi sekarang. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang masih yakin dengan potensi kita.
"Saya sependapat, kita ada masalah dengan berlakunya pandemik Covid 19, kita melihat ekonomi umumnya merudum di seluruh dunia.
"Tetapi ada negara yang memberi fokus terhadap pertumbuhan ekonomi dan menggunakan kekuatan kepimpinan untuk menggerakkan ekonomi kerana menutup industri bermakna menambah jumlah pengangur dan kemiskinan. Kesannya besar. Ini menuntut kepimpinan negara, negeri dan daerah untuk berbuat sesuatu menjana semula kebangkitan pertumbuhan ekonomi," katanya.
Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan itu mengkritik polisi yang tidak jelas diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional sehingga membantutkan usaha-usaha pemulihan ekonomi.
Katanya, bukan semua sektor ekonomi terjejas dalam pandemik dan ada sektor yang perlu digalakkan kerana menjana pendapatan kepada rakyat.
"Ini kita tegur kelemahan kepimpinan negara yang tidak memberi satu arahan jelas baik menangani Covid 19, atau disebut ekonomi Covid.
"Padahal ada potensi. Tadi saya mula dengan usaha pertanian. Penanaman cili agak besar dengan jumlah pendapatan ratusan ribu ringgit yang dibuat di kolej uniti.
"Maknanya ada potensi yang boleh kita gerakkan. Ada bidang yang agak lembab dan mengambil masa. Saya pergi ke kilang pelitup muka yang kecil tetapi menggerakkan ekonomi. Sekarang kejutan (pembukaan hotel) kerana industri pelancongan itu yang paling terkesan," katanya.
Bagi industri pelancongan, Anwar menekankan, tidak ada faedahnya Malaysia menyekat kemasukan orang luar tetapi negara kehilangan peluang pekerjaan.
Sewaktu dalam sidang Parlimen, katanya, beliau telah mencadangkan kemasukan pengembara luar dengan SOP yang ketat agar membantu menjana ekonomi negara.
"Jika kamu ambil 10 hari ujian sebelum melancong (misalnya) dari Qatar, Shanghai atau Eropah. Kemudian waktu sampai kamu ambil ujian dan keputusan diketahui dalam beberapa jam dengan kos ke atas pelancong.
"Maka tiada alasan menghalang kemasukan orang luar kerana kita perlu ada keseimbangan antara kesihatan dan peluang pekerjaan. Kita tidak boleh ambil langkah ekstrem dan biarkan rakyat kelaparan.
"Perlu ada keseimbangan pentingnya penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal, patuhi SOP dan pada masa yang sama membenarkan aktiviti ekonomi. Berfikiranlah di luar kotak," katanya.
Anwar juga menyifatkan pembukaan hotel berkenaan seumpama cahaya yang menyinari semula sektor pelancongan.
"Dalam kemuraman ada satu cetusan cahaya di Port Dickson. Saya amat bangga dengan Port Dickson," katanya seraya merasmikan pembukaan Pacific Regency Hotel.