PEMUDA PH DISERU BERGERAK -JANGAN DOK LENA

 

Pemuda PH diseru susun struktur jawatankuasa, gerak kerja PRU-15

______________________________

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal berlangsung pada bila-bila masa tahun ini namun Pemuda Pakatan Harapan (PH) masih tiada kepimpinan di peringkat pusat apatah lagi kesepakatan dalam gerak kerja.

Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Razeef Rakimin menegaskan Pemuda PH pusat masih belum memilih seorang ketua secara rasmi selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’.

Akibatnya, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah itu berpendapat Pemuda PH seolah-oleh tidak wujud dan hanya ada pergerakan di peringkat negeri sahaja.

“Baru-baru ini terdapat ura-ura mengenai proses pemilihan Ketua Pemuda Pakatan Harapan sedang berlangsung.

“Namun, masih tidak ada sebarang pengumuman dibuat berkenaan Jawatankuasa Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan yang baharu.

“Saya tidak hairan jika sayap pemuda parti komponen dalam PH terus bercakaran sesama sendiri kerana untuk memilih kepimpinan pun mereka masih gagal untuk selesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada awalnya Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad diamanahkan untuk memimpin Pemuda PH sehingga mencapai kemenangan pada PRU-14, 9 Mei 2018.

Selepas Pemilihan PKR 2018 dan pertukaran kepimpinan AMK, jelasnya, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ketika itu, Syed Saddid telah mengetuai Pemuda PH pada 13 Disember 2018 sebelum bekas Menteri Belia dan Sukan itu meninggalkan PH pada Februari tahun lalu.

Sehubungan itu, Razeef menggesa pimpinan setiap sayap Pemuda mengadakan perbincangan segera serta menyusun struktur jawatankuasa Pemuda PH yang baharu agar sayap pemuda dapat menyusun gerak kerja menjelang PRU-15.

“Di peringkat AMK, kami telah bersedia di kesemua 222 Parlimen kerana KEADILAN mempunyai 222 Cabang seluruh Malaysia.

“Namun, bagi mendepani Perikatan Nasional (PN) kita perlukan satu gabungan seperti dalam Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

“Maka isu ini perlu diselesaikan segera dan bukan bertelingkah seperti ‘gila jawatan’,” tambah Razeef lagi.

 

Pemuda PH diseru susun struktur jawatankuasa, gerak kerja PRU-15