Kluster Pengerang dikesan akibat aktiviti kunjung mengunjung



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan satu kluster yang bermula di Pengerang, Johor. Kes indeks (iaitu kes ke-1508) kluster ini telah mula mengalami gejala pada 12 Mac 2020.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap demam denggi.
Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020.
“Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal.
“Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac 2020,” katanya.
Setakat 22 April 2020, kluster ini melibatkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 iaitu 10 orang rakan sekerja dan lima orang ahli keluarga kes indeks, termasuk ibu beliau yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun.
Katanya, sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.
Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di ICU.
“Jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP,” katanya.

No comments: