Ada rakan lama bertanya pandangan saya mengenai usul undi tidak percaya kepada perdana menteri bagi menguji legitimasi kedudukan Muhyiddin Yassin. Apakah kerajaan pintu belakang yang tertegak atas langkah pengkhianatan ini mampu bertahan sehingga tamat penggal Parlimen ini?
Kebetulan saya terlantar uzur, terbaring lesu. Bacaan saya turut terbatas, apatah lagi komunikasi dengan kawan-kawan di musim PKP ini. Hatta pergerakan dalam rumah juga terhad. Justeru, hubungan dengan sumber maklumat terputus. Saya lebih suka berimiginasi dan membuat unjuran sendiri tentang lanskap politik negara.
Saya masih terasa debaran bermula pada malam 21 Februari lalu. Selalunya, balik pusat dialisis, 12 km dari rumah, saya terus tertidur, tetapi tidak malam Jumaat itu. Saya menunggu sidang media mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menbincangkan polemik peralihan kuasa perdana menteri, daripada Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.
Berdasarkan lenggok badan Mahathir menjelang jam 12 tengah malam itu, saya mengesan seolah-olah ada perdebatan hangat, meskipun resolusinya menyerahkan keputusan kepada budi bicara perdana menteri. Sedari awal saya cukup tidak selesa dengan siri desakan bertali arus penyokong Anwar, termasuk bertaraf wakil rakyat PKR, dan julukan negatif yang dihamburkan kepada Mahathir. Seolah-olah sosok Mahathir ketika itu tidak jauh berbeda dengan situasi Reformasi 1998. Saya merasakan PH harus ada mekanisme tersendiri menyelesaikan konflik yang kusut itu.
Esoknya, Sabtu dan Ahad berlalu penuh damai. Saya menghadiri kenduri kahwin sepupu isteri, di Sg Yu, Tanjong Karang. Berjumpa ramai saudara-mara. Sejuk hati saya menatap sanak keluarga warga emas; teduh dan redup. Belum nampak riak situasi siyasah menjadi kacau. Adik-beradik yang selalunya minat politik pun tidak riuh mulut, bertanya itu dan ini. Cuma ada seorang dua menduga respons saya tentang gossip hubungan Mahathir-Anwar. Mereka pun bimbang kesatuan PH. Namun, tiada kerisauan yang memungkinkan mandat rakyat dimungkiri. Rasanya begitu juga di tempat-tempat lain. Tidak menyedari gerak pembelotan sedang disusun rapi.
Tengah hari Isnin, rutin saya tiga kali seminggu di pusat dialisis, Melawati. Mata terpaku di kaca televisyen dari kerusi rawatan. Pengumuman perdana menteri letak jawatan. Surat telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong jam 1 tengah hari. Pejabat Perdana Menteri mengesahkannya. Jantung saya berdebar kencang. “Petaka apa pulak ni,” saya bertanya sendirian. “Takdak angin, pokok sudah tumbang.” Pesakit di sebelah nampak seperti tertidur nyenyak. Pandangan saya menjadi agak kabur. Mungkin tekanan darah jatuh mendadak. Lazimnya menghampiri tempoh tamat cuci darah selama empat jam, bacaan berada di bawah 100, dan terasa kuat peningnya. Selang beberapa minit, dua orang sahabat baik menghantar mesej bertanyakan kesahihan. Saya membiarkan. Cuba menenangkan diri sambil mengharapkan tiada perkembangan lebih buruk.
Episod dramatik yang tercetus tengah hari 24 Februari, diawali dengan mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu sehari sebelumnya — sehingga membawa parti bunga raya itu keluar daripada grand coalition PH — mengakibatkan runtuhnya kerajaan pembaharuan, disusuli permainan Langkah Sheraton dan proses menamakan perdana menteri baharu, elok saya rakamkan dalam tulisan berbeda. Saya tidak bercadang memberikan versi tersendiri kisah malang ini tetapi lebih kepada pengkisahan daripada gumpalan perasaan saya. Sekiranya proses kejatuhan regim Najib Razak pada 9 Mei 2018 saya nukilkan dalam buku Revolusi Tanpa Darah, maka tragedi kudeta yang menyedihkan itu wajar juga saya rakamkan. Ia adalah catatan penting sejarah negara, perihal pengkhianatan keji segerombolan politikus belot dibantu oportunis licik, yang meranapkan impian murni rakyat.
Detik-detik yang meresahkan itu, sehingga berakhirnya bulan Februari, mempamerkan wajah-wajah hodoh pemimpin yang tidak segan-silu memperdagangkan undi rakyat demi tembolok masing-masing. Kepentingan dan suara rakyat tidak lagi dirujuk. Sekadar permainan elit politik demi memuaskan nafsu serakah kuasa, sambil tawar-menawar habuan menjadi pesta yang riuh-dalam-senyap.
Bagi pesakit jantung kronik seperti saya, babak-babak menanti geraf sokongan menaik dan menurun cukup menyeksakan. Terasa lebih nyaman menunggu keputusan pilihan raya umum daripada berteka-teki 222 wakil rakyat memilih perdana menteri. Tiada lagi ikatan dengan suara rakyat akar umbi. Tiada lagi makna pengundi beratur bermandi peluh di tengah panas. Penghinaan ketara terhadap proses pemilihan, yang didahului kempen intensif, perdebatan dan tawaran manifesto. Ya, terasa penat-lesu sekali rakyat melalui amalan demokratik itu apabila akhirnya hanya suara segelintir kecil berkepentingan yang mencaturkan segalanya.
Saya sebenarnya mahu mengungkapkan rasa jelik dan marah; sudahlah mandat rakyat boleh dijual beli sehingga pihak yang kalah bertukar menjadi kerajaan, manakala gabungan parti yang menang berpindah ke posisi blok pembangkang, dalam sekelip mata. Sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi medan menguji legitimasi “kerajaan tebuk atap” pada awal Mac lalu telah ditangguhkan melepasi pertengahan Mei ini. Lebih dahsyat, sidang yang akan dibuka oleh baginda Agong itu hanya berjalan selama sehari, tanpa perbahasan titah diraja, tanpa agenda lainnya, sekadar mematuhi kehendak Perlembagaan agar Parlimen tidak terbubar dengan sendiri.
Juga tiada perbahasan tentang cabaran dan implikasi pandemik Covid-19, termasuk pakej rangsangan ekonomi. Justeru, tidak timbul lagi soal legitimasi kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang dipertikai. Walaupun pelbagai upaya telah dilakukan Muhyiddin bagi mengumpulkan sokongan, termasuk membesarkan saiz Kabinet dan menambah bilangan timbalan menteri, serta mewujudkan duta-duta khas bertaraf menteri, di samping melantik semua ahli parlimen penyokong kerajaan menjadi pengerusi GLC, namun kecurigaannya belum berakhir. Beliau tetap bimbang untuk memeterai sokongan daripada minimum 112 wakil rakyat. Harapnya, masa lebih lama diperlukan untuk membeli sokongan, selain menyelesaikan konflik yang berbangkit dalam kalangan pakatan longgar Perikatan Nasional (PN).
Sesungguhnya secara peribadi, saya terasa penat dan sia-sia untuk membahaskan kemungkinan usul undi tidak percaya kepada perdana menteri. Saya lesu memikirkan bagaimana elit politik oportunis ini galak memperdagangkan undi atau mandat yang diterima daripada rakyat dalam PRU14. Kebanyakan ahli parlimen itu menyedari betapa tingginya harga sebuah kerusi mereka. Maka bergentayanganlah broker-broker politik menawarkan rasuah, demi mengikat sokongan yang diperlukan perdana menteri. Sedangkan rakyat dan seluruh negara kini di ambang zaman pancaroba yang begitu menakutkan.
Saya teringin sekali di hujung nyawa ini, menyaksikan agar gerombolan pengkhianat itu mendapat pembalasan yang setimpal. Saya merupakan pengundi di kawasan Parlimen Ampang, bersebelahan dengan Parlimen Gombak. Kedua-dua kerusi ini diwakili oleh mereka yang menodai mandat rakyat. Azmin Ali menang di Gombak dengan majoriti lebih kurang 49,000 undi, dan majoriti Zuraida Kamaruddin di Ampang hampir 42,000. Kelebihan undi amat besar. Kadang-kadang terlintas, apa yang terdaya pengundi lakukan selepas sokongan mereka dikhianati, selain menunggu PRU15. Apakah wakil-wakil rakyat itu akan bertanding di kawasan sama?
Tiada harapan besar untuk melihat perubahan kerajaan melalui permainan licik elit politik ini. Saya juga tidak mahu lagi dirundung kekecewaan amat sangat. Meskipun kerajaan PH terdedah dengan pelbagai kelemahan, terutama dalam perang persepsi dalam kalangan masyarakat Melayu, namun saya yakin keruntuhannya hanya atas satu faktor: khianat. Proses pembetulan dan pembaharuan mungkin kelihatan perlahan dan tidak mengikut prioriti, tetapi masih dalam landasan yang betul. Kita sedang meniti fasa-fasa awal “mengutip hasil” tetapi sayangnya langkah pengkhianatan telah menghancurkannya. Apa pun rakyat akan membuat penghakiman yang adil nanti. Kita percaya akan kebijaksanaan mereka.