Kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau tidak apabila fasa ketiganya berakhir pada Selasa (28 April) nanti, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, kerajaan masih memantau data berdasarkan perkembangan harian untuk memastikan sama ada terdapat keperluan untuk melanjutkan PKP, yang mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, atau sebaliknya.
Dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan semalam Noor Hisham memberitahu, keputusan sama ada untuk melanjutkan PKP atau sebaliknya, masih belum dibuat.
Bagaimanapun jelasnya, terdapat beberapa kriteria yang perlu terlebih dahulu dipertimbangkan, iaitu antaranya memastikan kawalan sempadan terjamin melalui saringan dan meletakkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di bawah kuarantin.
Selain itu tambahnya, sejauh mana keberkesanan PKP perlu dilihat dan diperhatikan.
Jelasnya lagi, dengan terus tinggal di rumah, peluang untuk dijangkiti virus Covid-19 adalah rendah.
Katanya, untuk itu, Kementerian Kesihatan mesti berupaya bekerjasama dengan komuniti untuk menguatkuasakan langkah penjagaan dalam masyarakat terbabit.
“Inilah rangka kerja yang kita miliki dan ia perlu diamalkan oleh semua kementerian untuk melihat bagaimana strategi jalan keluar daripada krisis ini boleh didapatkan,” tambahnya.