Akaun FB Ainon Mohd sedang disiasat, 13 laporan polis diterima Bukit Aman

 


Sebanyak 13 laporan polis berhubung perkongsian hantaran berkaitan Nabi Muhammad SAW oleh pemilik Facebook Ainon Mohd, diterima di seluruh negara setakat malam tadi.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun tersebut iaitu seorang wanita berusia 75 tahun.


“Pada masa ini siasatan sedang dijalankan dan tindakan awal kita adalah memanggil pemilik akaun laman Facebook atas nama Ainon Mohd.


“Polis sudah merakam percakapan pengadu terbabit bagi melengkapkan siasatan awal. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” dipetik BH hari ini.


Menurutnya, PDRM turut merujuk kes sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menurunkan paparan dalam akaun FB suspek yang boleh mengelirukan pihak yang membaca paparan berkenaan.


“Sekali lagi saya tegaskan bahawa pihak polis tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang isu berkaitan 3R (Agama, Institusi Beraja dan Perkauman).


“Tindakan mengikut segala peruntukan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap pihak yang dikesan menimbulkan suasana tidak harmoni dan mengganggu-gugat ketenteraman awam,” kata Razarudin.


Terdahulu, Ainon yang merupakan pemain dalam industri buku dan penerbitan di negara ini mengundang rasa tidak puas hati orang ramai kerana menerbitkan hantaran di Facebook yang mengaitkan Nabi Muhammad SAW dengan amalan nepotisme dan kronisme.




No comments: