Pas anggap strategi politik untuk rampas kuasa Islam
Walaupun di bulan Ramadan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengeluarkan pelbagai dakwaan termasuk kononnya ekonomi dikuasai bukan Islam.
Menerusi Minda Presiden Bil 19 untuk tahun ini, Abdul Hadi juga menganggap demokrasi liberal dibenarkan berkuasa melakukan penentangan terhadap Islam dan umatnya.
“Malah, dilemahkan lagi oleh kefahaman politik yang lemah dalam kalangan Melayu Islam, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu menubuhkan sebuah kerajaan dominasi kumpulan liberal.
“Khususnya, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang secara terbuka cuba meminggirkan Islam dan kuasa umat Islam dalam perjuangannya, dalam keadaan lemahnya kehebatan Islam.
“Keadaan ekonomi hari ini dikuasai oleh kalangan bukan Islam dan pendidikan yang melemahkan umat Islam, serta dirancang strategi politik untuk merampas kuasa Islam.
“Inilah bentuk Kerajaan Pakatan Harapan yang dapat disaksikan telah melemahkan kehebatan Islam, sehingga keluarnya kenyataan dan tindakan yang berani menghina Islam yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, walaupun dalam keadaan nisbah umat Islam berbangsa Melayu masih majoriti besar, hilang kedaulatan rajanya dan kehebatan politik bangsanya yang menganut Islam.
“Maka, berlakulah amaran Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya (bermaksud):
“Tiba masanya umat pelbagai kaum dan agama berhimpun untuk mengepung kamu bagi merampas hak kamu, laksana mereka yang berhimpun di sekeliling makanan yang lazat untuk dimakan dengan rakus.”
Dalam masa sama, pemimpin blok Perikatan Nasional (PN) berkenaan turut menyentuh mengenai ‘penyakit’ cintakan duniawi serta menyebut tentang tindakan terhadap individu yang menghina Islam.
“Penyakit mabuk terhadap harta dunia serta pangkat dengan nafsu yang membelakangi iman dan Islam, menjadikan umat Islam semakin lemah dihanyutkan dan dibeli oleh musuh-musuh dengan pemberian rasuah dan dibuli pemikirannya dari dalam dan luar negara.
“Tambahan lagi, ditipu pula dengan slogan Daulat Tuanku yang telah dirampas kedaulatannya. Kini, pula berslogankan Madani dengan bahasa Arab yang menipu kalangan yang jahil tanpa dibezakan antara Islam dengan jahiliah.
“Amat memalukan, apabila kita meneruskan kerja penjajah dengan menugaskan pentadbiran berjenama jabatan agama Islam negeri untuk mengawal dan mengawasi guru-guru agama, pendakwah dan khutbah Jumaat. Bukannya hendak bertindak terhadap mereka yang telah menghina Islam,” kata Abdul Hadi lagi.
No comments:
Post a Comment