KERAJAAN PERPADUAN SUDAH JADI KERAJAAN PERGADUHAN, NENGGIRI MENANTI UNTUK GILIRAN UMNO PULA TERIMA KECAMAN



Kerajaan yang terbentuk dan diketuai Anwar Ibrahim sekarang ini adalah kerajaan perpaduan.


Atas titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, kerajaan perpaduan dilihat sebagai usaha untuk menyatu-padukan parti-parti yang berbalah setelah tiada satu pun parti mendapat majoriti yang mencukup untuk membentuk kerajaan secara sendirian.


Tetapi berikutan serang menyerang sesama sendiri makin rancak selepas PRK Sungai Bakap ini, khususnya melibatkan pemimpin UMNO, PKR dan DAP, kerajaan perpaduan ini semacam sudah bertukar menjadi kerajaan pergaduhan.


Selepas keputusan diumumkan yang menyaksikan calon PKR mewakili PH bukan saja kalah, malah majoriti kekalahan lebih besar berbanding PRN lalu, paling dijadikan sasaran ialah Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi merangkap Timbalan Presiden PKR.


Atas kapasitinya sebagai Pengarah kempen PRK tersebut, beliau seolah-olah dipersalahkan sepenuhnya atas kekalahan calon PKR itu.


Selain disindir oleh beberapa pemimpin UMNO sebagai “Raja Formula” yang gagal, ungkapan “bahlul” dan “bodoh” yang diucapkan Rafizi ketika berkempen turut dijadikan sebab dan punca kekalahan.


Kononnya ungkapan tersebut memperlihatkan Rafizi sebagai pemimpin yang sombong dan angkuh, lalu pengundi menolak untuk memberi undi kepada calon PKR.


Rasanya ramai lupa, walaupun Rafizi adalah Pengarah kempen bagi PKR, tetapi oleh kerana Dr Joohari Ariffin adalah calon mewakili kerajaan perpaduan, beliau bersama Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abd Kadir adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk PRK Dun Sungai Bakap.


Dengan itu, khususnya bagi beberapa pemimpin UMNO yang suka menyindir dan mempersalahkan Rafizi, mereka juga patut menyalahkan Dr Zambry atas kekalahan calon kerajaan perpaduan di Sungai Bakap itu.


Tambahan lagi, antara punca kekalahan itu ialah kerana calon kerajaan perpaduan gagal mendapat sokongan daripada pengundi Melayu, termasuk pengundi UMNO sendiri.


Kenapa Dr Akmal Salleh dan Dr Puad Zarkashi misalnya tidak menuding jari sama kepada Dr Zambry?


Di samping kecenderungan beberapa pemimpin UMNO menyalahkan Rafizi, veteran UMNO pula menyalahkan DAP atas dakwaan gagal menarik pengundi Cina.


Sebagaimana telah diketahui, pengundi Cina yang keluar mengundi di Sungai Bakap amat rendah iaitu hanya 47 peratus daripada jumlah 8,642 orang keseluruhannya.


Maknanya, bagi UMNO, punca kekalahan di Sungai Bakap adalah kerana kegagalan Rafizi dan juga disebabkan kegagalan DAP menarik pengundi Cina untuk keluar mengundi, seterusnya menyokong calon PKR yang mewakili PH itu.


Tidak pula kedengaran mereka menyalahkan UMNO dan Zahid Hamidi yang turut berkempen di Sungai Bakap, tetapi masih gagal menarik pengundi Melayu dan ahli UMNO sendiri untuk menyokong Dr. Joohari.


Yang UMNO nampak hanyalah Rafizi sebagai penyebab kekalahan.


Dalam hal ini, sementara beberapa pemimpin UMNO tampak seronok menyalahkan Rafizi, mereka jangan lupa bahawa selepas ini ada PRK Dun Nenggriri di mana giliran parti itu pula meletakkan calonnya.


Situasi Sungai Bakap dan Nenggiri boleh dikata hampir sama – kedua-dua kerusi itu ditandingi calon PKR dan UMNO dalam PRN lalu dan kedua-duanya juga ditimpa kekalahan.


Dalam PRN lalu, calon UMNO tewas di Nenggiri dengan kekurangan 810 undi, sementara calon PKR tewas di Sungai Bakap dengan tak cukup undi sebanyak 1,563.


Sebagaimana PKR berusaha sehabis baik mahu menang di Sungai Bakap, UMNO juga sudah tentu tidak mahu tewas lagi di Nenggiri.


Meski dipersalahkan, Rafizi ketika ini hanya mendiamkan dirinya saja, tetapi kalau UMNO kalah lagi Nenggiri, malah dengan jumlah undi yang lebih besar, maka UMNO haruslah bersiap sedia juga menerima kecaman.


Walaupun mungkin bukan Rafizi yang akan memulangkan paku buah keras kepada UMNO, penyokong-penyokong Rafizi yang terluka ketika ini, tidak mungkin mendiamkan diri lagi.


Sekali lagi nanti, kerajaan perpaduan akan terus menjadi kerajaan pergaduhan.


Bayangkan jika berlaku lagi PRK di enam kawasan Parlimen di mana semua kerusi itu juga akan ditandingi oleh UMNO? – ShahbudinHusin 09Julai2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/09/kerajaan-perpaduan-sudah-jadi-kerajaan-pergaduhan-nenggiri-menanti-untuk-umno-pula-terima-kecaman.html