ELOK CARI SUMBER BARU

 

Najib Bakar


Syabas Menteri Besar Terengganu atas tindakan yang pantas ini.




Enam tahun merupakan masa yang amat sesuai untuk mula mencari inisiatif mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum.


Bak kata pepatah Inggeris, slow and steady wins the race.


Pastinya rakyat Terengganu bertuah kerana memiliki seorang Menteri Besar yang bukan sahaja seorang cendekiawan, bahkan seorang pemikir ulung.


Umum tahu, kerja memikir memerlukan tempoh yang lama sementara badan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.


Tanpa kerjasama cuaca yang bersesuaian, kerja memikir tidak mudah, malah kadangkala memerlukan persekitaran baru, di negara yang cuacanya lebih sejuk.


Kerana itulah Auckland menjadi destinasi paling sesuai untuk kerja-kerja memikir.


Hasil pemikiran yang rumit itu menatijahkan belanjawan negeri Terengganu tahun 2024 dengan nilai besar, RM1.86 billion.


Daripada jumlah itu, 86.5% atau RM1.61 billion datangnya daripada hasil petroleum yang disumbangkan Kerajaan Persekutuan.


Sungguh hebat Menteri Besar Terengganu.


Siapa lagi yang mampu menyediakan belanjawan sebesar itu?


Tanyalah Menteri Besar Perlis.


Atau tanya anaknya yang mungkin cuma mampu menelan air liur, teruja dengan nilai tersebut.


Tanya juga kepada Menteri Besar Kedah yang ternyata kalah dengan nilai belanjawan Terengganu walaupun mempunyai nilai trillion hasil bumi.


Kerja memikir ini lebih rumit tambahan pula berdepan cabaran untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang ada di kalangan anak muda Terengganu.


Namun, pimpinan Kerajaan Terengganu yang diterajui beliau berjaya menyelesaikan masalah pengangguran dengan kebijakan yang tidak setara orang biasa-biasa.


Mereka menyediakan bas-bas untuk menghantar anak muda Terengganu bekerja di Selangor.


Bijak. Syabas.


Bermakna amat sesuai sekali Menteri Besar Terengganu ini menjadi calon Perdana Menteri untuk Perikatan Nasional.


Bayangkan, jika beliau mengambil alih Malaysia, selepas enam tahun baru kita mendapat isyarat daripada beliau untuk mula mencari inisiatif melonjakkan ekonomi Malaysia.


Dalam tempoh memikir itu, jualan tanah negara akan semakin meningkat kerana sifat berkebajikan yang ada pada beliau.


Apalah sangat jualan tanah yang lebih murah kepada persatuan isteri wakil rakyat sebagai sistem kebajikan yang paling ulung dasawarsa ini?


Najib Bakar