10 July 2024
Dua isu utama yang dikesan menyumbang kepada
kekalahan memalukan diterima PH pada PRK Sungai Bakap ialah Blackrock dan
kenaikan harga diesel.
Pengundi Melayu dilihat menolak calon kerajaan di
Sungai Bakap kerana isu Blackrock dan kenaikqn harga diesel secara mendadak
sebanyak RM1.20 sen yang disebabkan langkah penyasaran subsidi bahan bakar
tersebut.
Isu Blackrock menjadi sebab calon kerajaan ditolak
kerana kaitannya dengan Israel, manakala kenaikan harga diesel memberi kesan
secara langsung kepada kos sara hidup dan kenaikan harga barang.
Pengundi bukan Melayu pula menolak calon kerajaan
sebagai tanda protes terhadap kenaikan harga diesel yang menyukarkan lagi
perniagaan mereka.
Dalam keadaan kedudukan ekonomi yang masih lembab,
kenaikan harga diesel adalah beban tambahan bagi komuniti bukan Melayu,
khususnya orang Cina yang sebahagian besarnya terlibat dalam dunia perniagaan.
Tanpa dua isu tersebut, kalau pun calon kerajaan
tetap tidak menang di Sungai Bakap, tetapi ia dijangka tidaklah dengan undi
yang jauh lebih besar berbanding PRN lalu.
Dengan adanya dua isu tersebut, kerajaan perpaduan
sendiri seolah-olah memberi laluan mudah kepada PN untuk menang di Sungai
Bakap.
Begitu pun, meski pimpinan PH dilaporkan
menghormati suara rakyat, bersikap terbuka dan ingin bermuhasah dengan
kekalahan itu, namun ternampak tidak ada usaha pembetulan dan langkah sedar
diri yang diambil setakat ini.
Yang pasti, kerajaan nampaknya tetap ingin
mengekalkan penjualan saham MAHB kepada GIP yang dikuasai oleh Blackrock.
Dalam jawatan bertulis di Parlimen, Kementerian
Kewangan menyatakan Blackrock tidak terlibat dalam mesyuarat antara GIP dengan
MAHB.
Gambaran ini memperlihatkan kerajaan tetap tidak
berganjak daripada hasrat untuk menjual saham MAHB kepada GIP, meskipun
menyedari GIP adalah milik penuh Blackrock.
Begitu juga dengan kenaikan harga diesel, tiada
apa-apa petunjuk bahawa kadar kenaikannya akan disemak atau diturunkan.
Ini bermakna, dua isu ini akan terus berada dalam
masyarakat dalam tempoh yang lama lagi.
Sekaligus bererti kerajaan akan terus menerima
kesan penolakan yang kian membesar daripada orang Melayu dan juga bukan Melayu,
sehinggalah PRU16 akan datang.
Jika itu pilihan kerajaan dan Anwar Ibrahim,
hadaplah nanti apa juga bencana yang bakal menimpa. – ShahbudinHusin 10
Julai2024.