BLACKROCK, KENAIKAN DIESEL AKAN JADI ISU BERPANJANGAN…



10 July 2024

Dua isu utama yang dikesan menyumbang kepada kekalahan memalukan diterima PH pada PRK Sungai Bakap ialah Blackrock dan kenaikan harga diesel.

Pengundi Melayu dilihat menolak calon kerajaan di Sungai Bakap kerana isu Blackrock dan kenaikqn harga diesel secara mendadak sebanyak RM1.20 sen yang disebabkan langkah penyasaran subsidi bahan bakar tersebut.

Isu Blackrock menjadi sebab calon kerajaan ditolak kerana kaitannya dengan Israel, manakala kenaikan harga diesel memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

Pengundi bukan Melayu pula menolak calon kerajaan sebagai tanda protes terhadap kenaikan harga diesel yang menyukarkan lagi perniagaan mereka.

Dalam keadaan kedudukan ekonomi yang masih lembab, kenaikan harga diesel adalah beban tambahan bagi komuniti bukan Melayu, khususnya orang Cina yang sebahagian besarnya terlibat dalam dunia perniagaan.

Tanpa dua isu tersebut, kalau pun calon kerajaan tetap tidak menang di Sungai Bakap, tetapi ia dijangka tidaklah dengan undi yang jauh lebih besar berbanding PRN lalu.

Dengan adanya dua isu tersebut, kerajaan perpaduan sendiri seolah-olah memberi laluan mudah kepada PN untuk menang di Sungai Bakap.

Begitu pun, meski pimpinan PH dilaporkan menghormati suara rakyat, bersikap terbuka dan ingin bermuhasah dengan kekalahan itu, namun ternampak tidak ada usaha pembetulan dan langkah sedar diri yang diambil setakat ini.

Yang pasti, kerajaan nampaknya tetap ingin mengekalkan penjualan saham MAHB kepada GIP yang dikuasai oleh Blackrock.

Dalam jawatan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan menyatakan Blackrock tidak terlibat dalam mesyuarat antara GIP dengan MAHB.

Gambaran ini memperlihatkan kerajaan tetap tidak berganjak daripada hasrat untuk menjual saham MAHB kepada GIP, meskipun menyedari GIP adalah milik penuh Blackrock.

Begitu juga dengan kenaikan harga diesel, tiada apa-apa petunjuk bahawa kadar kenaikannya akan disemak atau diturunkan.

Ini bermakna, dua isu ini akan terus berada dalam masyarakat dalam tempoh yang lama lagi.

Sekaligus bererti kerajaan akan terus menerima kesan penolakan yang kian membesar daripada orang Melayu dan juga bukan Melayu, sehinggalah PRU16 akan datang.

Jika itu pilihan kerajaan dan Anwar Ibrahim, hadaplah nanti apa juga bencana yang bakal menimpa. – ShahbudinHusin 10 Julai2024.