Ringgit akan kukuh, tiada keperluan tambat mata wang - Men Kewangan II


 

Kerajaan berkeyakinan nilai ringgit akan bertambah kukuh pada masa akan datang sekali gus tiada keperluan untuk mengulangi semula langkah tambatan ringgit sebagaimana pernah dilakukan pada 1998, kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.



Beliau menjelaskan tambatan ringgit dilakukan ketika krisis kewangan Asia itu apabila pasaran saham merudum sebanyak 76% tetapi sekarang jika dilihat dari awal tahun ini, ia meningkat sebanyak 6%.



Selain itu, katanya pinjaman luar negara pada 1998 berada pada tahap 16% daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman daripada luar negara ketika ini hanya pada 2.1%.



"Pada masa ini tidak ada perancangan untuk mengadakan penambatan ringgit, tambatan yang kita buat pada 1998 dalam zaman ekonomi berbeza berbanding sekarang.



"Kita lihat dari segi reserve (rizab) negara, rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar RM113 bilion, ia lebih baik berbanding RM26 bilion pada 1998.



"Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita react (bertindak balas) dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.



Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit bagi mengekang atau menjaga aset negara.



Katanya kejatuhan ringgit boleh dianggap sebagai satu bentuk penjajahan apabila pelabur asing boleh membeli saham pada kadar yang murah.



Amir Hamzah berkata penganalisis juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.



"Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI kita percaya ringgit akan berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan," katanya.