Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan
memperkenalkan satu skim baharu bagi menstruktur semula industri padi dan beras
tempatan sebagai satu penyelesaian jangka panjang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perincian mengenai
skim tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Jelasnya, KPKM ketika ini giat mengadakan sesi libat urus dengan
pelbagai pemegang taruh meliputi petani sehingga ke persatuan peladang bagi
mengumpul maklumat untuk menjayakan skim baharu itu.
"Semua beri pandangan masing-masing. Kita akan umumkan dalam
dua tiga hari ini mengenai satu skim baharu.
"Pelan jangka panjang yang lebih kepada penstrukturan semula
industri beras dan padi negara.
"Semuanya akan kita buat libat urus termasuk dengan Ahli
Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya
parti mana, bukan masalah kaum," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk
Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu tindakan KPKM bagi menangani
isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sukar didapati di pasaran.
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, polemik akan terus berlaku
sekiranya kerajaan tidak mencukupkan stok beras negara, justeru KPKM bertindak
menyusun semula industri beras dan padi negara.
"Pengeluaran BPT, hanya 62% beras di Malaysia manakala pihak
seperti zakat, kontrak kerajaan, hospital, balai polis, sekolah, asrama dan
sebagainya menggunakan BPT. Menyebabkan untuk edaran tinggal kira-kira 50%.
"Penyusunan industri beras dan padi ini dilakukan pada 1980-an
dahulu yang mana lahirnya Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).
"Tahun ini, kita akan buat penyusunan baharu dan akan diumum
tidak lama lagi," katanya lagi.